[VIDEO] Kereta dinaiki 3 beradik terbalik dihimpit MPV di Lebuhraya PLUS, seorang kritikal di ICU


  • Tular
  • Ahad, 06 Apr 2025

Tangkap layar kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Pedas Linggi menghala ke Senawang, Negeri Sembilan pada Sabtu

SEORANG daripada tiga beradik didakwa parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Pedas Linggi menghala ke Senawang, Negeri Sembilan pada Sabtu

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 malam itu, ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan ke sebuah lokasi apabila kereta mereka dipercayai dihimpit oleh sebuah MPV jenis Nissan Serena sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Insiden kemalangan itu turut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian dan tular pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Dakwa barang kemas arwah dicuri selepas kejadian, famili mangsa nahas Terowong Menora terkilan

BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman dashcam mangsa tragedi LPT tular, ramai desak kerajaan perketat undang-undang syarat jadi pemandu lori

Menurut seorang pengguna laman X (Twitter), Azman Daud berkata ketiga-tiga mangsa merupakan anak kepada rakannya.

"Kenderaan jenis Renault itu dipandu oleh anak anak sahabat saya, tiga adik beradik.

"Seorang kini berada di unit rawatan rapi (ICU) hospital. Semoga ALLAH membalas kekejaman pemandu kereta Serena itu," ciapnya pada Ahad.

 

 

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali mengesahkan kejadian terbabit. 

Katanya, sebuah Renault Kangoo yang dinaiki kesemua mangsa berada di lorong kanan sebelum menukar ke lorong tengah, lalu terlibat dalam kemalangan.

Kenderaan tersebut dipandu penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin, A’mal Hakeemah Zikri Fuad, 20, bersama dua penumpang iaitu Amal Hasanah Zikri Fuad, 18, dan A’mal Solehah Zikri Fuad, 22, yang duduk di bahagian belakang.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.35 malam ketika ketiga-tiga mangsa yang beralamat di Batu Caves, Selangor sedang dalam perjalanan dari arah Pontian, Johor menuju ke Gombak, Selangor.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu menukar lorong dari kanan ke tengah.

"Secara tiba-tiba, pemandu terkejut apabila melihat sebuah kenderaan lain berada di belakangnya dan bergerak terlalu hampir. Ia menyebabkan pemandu bertindak secara spontan memaut stereng sehingga hilang kawalan lalu kenderaan terbalik di sebelah kiri bahu jalan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, akibat kemalangan itu, A’mal Solehah yang duduk di kerusi penumpang belakang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dekat Negeri Sembilan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu serta Amal Hasanah yang duduk di kerusi penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar beliau, kemalangan tersebut menyebabkan kenderaan mengalami kerosakan pada bumbung MPV yang kemek, cermin tingkap pecah serta beberapa kerosakan lain.

“Usaha mengesan saksi bebas dan pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) telah dilakukan, dan pemilik dashcam akan dirakam percakapan pada hari ini di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau, Negeri Sembilan.

“Permohonan semakan rakaman CCTV di kawasan tol dan lebuh raya juga telah dipohon daripada pihak PLUS dan kini dalam proses semakan,” katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Rule 10 LN166/59. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram