
MENJADI amalan pagi raya berhias dan berpakaian cantik tanda meraikan hari kemenangan sempena kehadiran Syawal. Usai bersiap, mengatur langkah bersama seisi keluarga untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran.
Selesai semuanya, bergegas pulang ke rumah untuk bersiap-siaga menyajikan juadah dan menyusun atur kediaman sebelum menerima kunjungan tetamu.
Bagaimanapun, dalam sesetengah situasi belum sempat tuan rumah menyempurnakan tugasan berkenaan, tetamu telah datang menziarah sehingga sesi bermaaf-maafan bersama ahli keluarga terpaksa 'ditunda' seketika.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tak sangka ada hikmah anak baring waktu kereta kena hempap pokok di Rawang
Inilah diluahkan oleh seorang pengguna Threads, i_shahidris yang mencadangkan supaya tetamu cuba normalisasi ziarah beraya semasa makan tengah hari berbanding waktu pagi.
"Can we normalise datang beraya around lunch time? Lagi-lagi pada hari raya pertama)," tulisnya baru-baru ini.
Beliau menyifatkan orang ramai perlu memahami dan mengambil kira beberapa perkara.
“Baru balik solat raya dan orang (terutamanya wanita) perlukan masa untuk bersiap selepas solat. Maaf, saya bukan jenis yang solat dengan solek penuh, baju dan tudung siap lilit.
“Sedangkan keluarga itu sendiri belum sempat nak beraya sesama mereka, dah kena layan tetamu. Kami pun akhirnya beraya dengan ibu bapa sekitar tengah hari sebabkan perkara ini,” luahnya lagi.
Tangkap layar pandangan daripada pengguna Threads.
Beliau juga menjelaskan mengenai juadah raya sememangnya sudah dimasak cuma memerlukan sedikit masa untuk menyajikan buat santapan para tetamu.
“Nak kena sediakan makanan, minuman dan sebagainya. Betul, lauk, ketupat semua itu kebanyakan dah siap, tapi kami masih perlu susun meja makan, pinggan mangkuk, cawan, dan bancuh air.
“Tambahan pula, mak saya hari ini masak nasi minyak fresh-fresh,” katanya yang turut menjelaskan tidak sempat bergambar raya sekeluarga kerana sudah menerima kunjungan tetamu.
Luahannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Threads yang lain.
"Kelam kabut tak sempat siap antara sebahagian pengalaman dan norma raya. Saya merindui situasi itu dan menjadikan ia istimewa daripada sambutan lain," jelas Suainah.j
"It's valid suggestion. Give the family room to breathe and get together dulu," kata Adzrul_ariff
"Normalise tanya dulu sebelum datang beraya. Bukan main terjah. Kalau pagi famili sudah ready, okey saja pergi," tulis Munz_fuaad
Masing-masing mempunyai pandangan dan cara tersendiri meraikan Syawal, apatah lagi ingin memahat momen manis berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara.
Apabila budaya saling hormat-menghormati antara satu sama lain diterapkan, bukan saja raya semakin bermakna, malah jalinan ukhwah kekal harmoni. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram