
BERSYUKUR masih dikurniakan umur yang panjang, dua beranak berdepan detik-detik cemas sebelum terselamat daripada terhempap pokok yang tumbang atas bumbung kereta di Selayang, dekat Rawang, Selangor pada Isnin.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Rasyida Mat Hussain, kereta jenis Proton Bezza merah yang dipercayai dinaikinya bersama anaknya dihempap sebatang pokok di tempat duduk belakang ketika hujan lebat pada waktu itu.
Menurut pemilik akaun yang dipercayai mangsa kejadian, dia bersyukur kerana anaknya itu bukan dalam keadaan duduk malah baring ketika kejadian.
"Ada hikmah ya, dua beranak selamat Alhamdulillah. Dihempap pokok tumbang, hujan cukup-cukup lebat, batang pokok hempap betul-betul di tempat duduk belakang, anak tengah baring-baring, kalau duduk Wallahualam," tulisnya.
Pada masa sama, kereta mangsa juga dilihat mengalami kerosakan teruk dan bumbung kereta yang remuk akibat impak daripada hentakan pokok yang besar itu.
Selain itu, melalui hantaran yang dimuat naik di Facebook Sufi Danial pula, kejadian pokok tumbang itu dipercayai berlaku di jalan berhadapan Amansiara Rawang menghala ke Bandar Rawang sebelum simpang masuk ke Taman Amansiara.
Orang ramai dilihat berhenti untuk membantu mangsa dalam kejadian. — Facebook/Rasyida Mat Hussain
Dalam kejadian, difahamkan orang ramai berhenti untuk membantu mengangkat dan mengalihkan pokok besar yang tumbang di atas kereta tersebut ke tepi jalan.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram