'15 jam itu pasti', asam garam anak Kelantan pulang beraya demi bertemu keluarga di desa


  • Massa
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Laluan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mula sesak sejak Jumaat ekoran pergerakan warga kota pulang beraya di desa.

SABAN tahun, golongan bekerja di perantauan pasti tidak sabar menanti detik pulang beraya di desa menjelang Aidilfitri.

Negeri Pantai Timur khususnya Kelantan antara yang paling ramai berhijrah ke kawasan bandar demi sesuap nasi dan peluang kerjaya di ibu kota.

Namun, detik keriangan itu sedikit terjejas apabila golongan berkenaan perlu menempuh laluan sesak untuk tiba di destinasi kampung masing-masing.

BACA LAGI: [VIDEO] Orang Perak memang kreatif, tampil idea masak 'lemang masak sekata'

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 20 tahun berlalu, 2 beradik Cenderawasih masih lunak alunkan lagu Bersama Di Hari Raya

Bagaikan sudah lali dengan perkara itu, momen 'disidai' tengah lebuh raya di samping seisi keluarga merupakan pahit getir bergelar anak perantauan bila tibanya bulan Syawal.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, ramai warga Kelantan meluahkan pendapat berkaitan isu berkenaan yang disifatkan antara memori manis setiap tahun walaupun penuh liku.

Faizal Abdullah menjelaskan dia sudah reda dengan dugaan dihadapi sebagai anak jati Kelantan kerana terpaksa mengharungi trafik sesak berjam-jam lamanya untuk pulang beraya.

"Dugaan anak Kelantan nak balik kampung beraya, jalan sesak, kereta beratur panjang sejauh mata memandang. 

"15 jam itu pasti, boleh pergi sampai 20 jam. Panas hujan pun bukan halangan, dalam hati, semangat nak jumpa ibu ayah, nak berkumpul dengan adik-beradik, nikmati juadah raya.

"Tak kisah lambat sikit asalkan sampai, raya di kampung, tetap paling bermakna. Semoga semua yang balik kampung dipermudahkan perjalanan dan selamat sampai ke destinasi," katanya.

Terdahulu, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mencatatkan peningkatan ketara jumlah kenderaan dengan lebih 60,000 kenderaan direkodkan sejak Jumaat, susulan kepulangan perantau menyambut Aidilfitri.

Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim menerusi laporan media berkata, aliran trafik di semua arah menuju ke utara Terengganu menunjukkan peningkatan mendadak, dengan jumlah kenderaan dijangka mencecah 80,000 lewat malam Sabtu.

Bagi mengurangkan kesesakan teruk, pihak LPT2 telah membuka lorong tambahan di Tol Kuala Terengganu berhampiran Bukit Gemuruh serta menambah kaunter Touch ‘n Go (TnG) mudah alih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram