
SEORANG penunggang motosikal ditahan polis selepas didakwa mengasari pemandu lelaki di persimpangan Taman Cheng Utama, Melaka pada Sabtu.
Kejadian tular itu memaparkan pelaku menghentak kepala mangsa menggunakan topi keledar sehingga rebah di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 27 tahun itu diberkas di Balai Batang 3 sekitar pukul 12.30 tengah hari Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 690 terkorban, 2 beranak berpelukan ditemui bawah bangunan runtuh di Bangkok
BACA LAGI: [VIDEO] Orang Perak memang kreatif, tampil idea masak 'lemang masak sekata'
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian tersebut berlaku pada Khamis itu berpunca perselisihan faham di atas jalan raya yang akhirnya membawa kepada insiden fizikal.
"Pihak polis dalam proses merampas sebuah motosikal berserta helmet dan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian untuk tujuan siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, mangsa berusia 52 tahun itu telah diberikan borang POL 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan rakaman percakapan mangsa akan diambil bagi melengkapkan siasatan.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit salah, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau kedua-duanya jika sabit salah.
"Masyarakat dinasihat untuk sentiasa bersabar dan mengawal perasaan serta tidak melakukan perkara yang boleh menjerumus kepada perbuatan jenayah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah atau balai polis berdekatan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram