Nilai 3 kembali 'bernyawa' sempena raya, namun ramai rimas warga asing menjaja ketuk tingkap kereta


  • Massa
  • Isnin, 24 Mac 2025

Nilai 3 kembali meriah selepas sebelum ini dilaporkan sunyi sepi tanpa pengunjung.

SATU masa dahulu, bandar Nilai 3 di Negeri Sembilan berdepan kesukaran apabila lokasi yang dikenali sebagai syurga membeli-belah itu mula dipandang sepi.

Hal ini kerana, faktor pengguna lebih gemar membeli secara dalam talian kerana ia lebih murah membuatkan populariti Nilai 3 mula menurun.

Namun begitu, lokasi tersebut dilihat kembali 'bernyawa' apabila orang ramai hadir untuk mendapatkan barangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

BACA LAGI: Tiket ETS hampir habis, KTM dicadang tambah tren, hentikan sementara penghantaran kargo

BACA LAGI: Mahu 'hiking' di Selangor? Pastikan mohon permit online mulai 1 April

Orang ramai kembali memeriahkan Nilai 3.

Di sebalik kemeriahan yang kembali di Nilai 3, timbul rasa kurang senang oleh pengunjung yang hadir kerana sikap sesetengah peniaga warga asing di sana.

Peniaga di Nilai 3 yang majoritinya adalah warga asing, dilihat sering memaksa pengguna untuk membeli barangan daripada mereka.

Malah, ada pengunjung yang mendakwa terdapat peniaga yang datang sehingga ke kereta mereka untuk menjual dan memaksa membeli barangan tersebut.

"Tak suka dah nak datang sini, baru je pergi. Kita duduk dalam kereta pun dia (peniaga) boleh datang ketuk-ketuk tingkap, jual tuala lepas itu paksa orang beli. Bukan seorang dua, ramai pula tu. Boleh pula ya warga asing menjaja sebegitu?," luah Hasmie Aziz yang tidak berpuas hati.

Malah, ada juga yang mempertikai bagaimana warga asing itu dapat berniaga dengan sewenang-wenangnya di Malaysia.

Sudahlah dapat berniaga, ada dakwaan mengatakan mereka mengenakan harga tidak masuk akal pada barangan yang dijual.

"Puak-puak warga asing ini macam mana dapat lesen berniaga? Senangnya mereka berniaga dalam Malaysia," komen Nihar Mynihar.

"Mahal, jangan datang. Sejadah saja dia tekan sampai RM150," ujar Hafiz Lokman pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram