Senasib Jimmy Raymond, 3 wira Piala AFF terlepas bertemu Nepal


  • Podium
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Dominic Tan salah seorang tonggak Harimau Malaya yang turut tidak tersenarai disebabkan faktor kecederaan.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 27 senarai pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac.

Senarai pemain yang dipanggil jurulatih Australia, Peter Cklamovski menyaksikan beberapa kejutan termasuk penampilan beberapa muka baharu.

Antara muka baharu dalam skuad Harimau Malaya kali ini ialah pemain pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili, Faisal Halim, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Shahrul Saad dan Quentin Cheng.

BACA LAGI: JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa penonton angkara kes baling botol

BACA LAGI: 'Tengah on form pun tak terpilih,' fans The Cats panas hati Jimmy Raymond tercicir ‘call up’ HM

Jimmy Raymond sebelum ini berjaya menambat hati pengendali interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk mewakili skuad kebangsaan saingan Piala AFF 2024. — Facebook/FAM

Cklamovski mengekalkan beberapa tonggak yang beraksi dalam saingan Piala Asean 2024 (Piala AFF) iaitu Paulo Josue, Endrick dos Santos, Safwan Mazlan, Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin.

Bagaimanapun, beberapa pemain yang beraksi dalam Piala Asean 2024 (Piala AFF) tidak tersenarai kali ini termasuk anak jati Sarawak Jimmy Raymond.

Meskipun menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat domestik, peluang Jimmy untuk menyarung jersi Harimau Malaya tampaknya tidak kesampaian.

Selain Jimmy, terdapat tiga lagi wira negara yang pernah membantu Malaysia di Piala AFF turut tercicir dalam senarai kali ini walaupun tampil cemerlang dalam kejohanan tersebut.

1) Fergus Tierney 

Penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Fergus Tierney turut tidak tersenarai dalam 27 pemain yang akan menghadapi Nepal walaupun menunjukkan prestasi cemerlang dalam Piala AFF.

Ketika diberi peluang beraksi dalam saingan Piala AFF, Fergus memukau ramai dengan mencetak satu gol dalam perlawanan menentang Kemboja yang berkesudahan seri 2-2 pada 8 Disember lalu.

Fergus Tierney tercicir daripada senarai 27 pemain untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Kini, Fergus menyertai Nakhon Pathom United yang beraksi dalam saingan Thai League 1, setelah sebelumnya beraksi bersama Chonburi FC di Thai League 2.

Ketiadaan Fergus dalam senarai kali ini mengejutkan ramai pihak terutamanya kerana prestasi cemerlang yang dipamerkannya dalam Piala AFF.

2) Fazrul Amir 

Tonggak Kelantan Darul Naim FC, Fazrul Amir membuktikan kemampuannya sebagai prospek masa depan Harimau Malaya apabila pernah tersenarai dalam skuad Piala AFF. 

Pemain yang mesra disapa Ghaddar itu memainkan peranan penting dalam membantu skuad kebangsaan meraih kemenangan 3-2 ke atas Timor Leste pada 11 Disember lalu.

Beraksi sebagai pemain sayap kiri, Fazrul menunjukkan potensi besar dalam membantu skuad kebangsaan membuat hantaran berbahaya ke kubu pasukan lawan.

Fazrul Amir dipanggil bagi menggantikan Mukhairi Ajmal yang terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan sebelum ini. — Facebook/FAM

Lebih manis lagi, pemain berketinggian 1.63 meter itu mencipta kenangan indah dengan memberikan hantaran bantuan kepada Paulo Josue yang kemudian menjaringkan gol ketiga untuk Malaysia.

Namun, malangnya, khidmatnya kini tidak digunakan apabila namanya tidak tersenarai dalam skuad yang akan menghadapi cabaran Nepal.  

3) Danial Amier 

Pemain tengah Harimau Selatan, Danial Amier Norhisham akhirnya kembali menikmati bola sepak selepas dipinjamkan ke Kuching City FC selama semusim pada jendela perpindahan pertama musim 2024/25.

Danial, yang kali terakhir beraksi untuk Harimau Selatan dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 menjadi tonggak penting buat Kuching City FC bagi membantu pasukan tersebut dalam semua pertandingan Liga M.

Pemain kebangsaan, Danial Amier Norhisham.  Instagram/bolasepakkita

Berketinggian 1.75 meter, Danial turut tersenarai dalam skuad Harimau Malaya untuk saingan Piala AFF 2024.

Pemain pinjaman dari JDT itu memainkan peranan penting dalam kemenangan 3-2 Malaysia ke atas Timor Leste, beraksi sebagai pemain tengah pertahanan dalam perlawanan tersebut.

Kehebatannya di pentas domestik dan antarabangsa menjadikannya antara pemain yang diharapkan untuk terus memberi impak dalam saingan Liga M dan skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram