
BULAN Ramadan kali ini menyaksikan fenomena pemain bola sepak sama ada yang masih aktif atau sebaliknya untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan dan perniagaan berskala besar bagi menjana pendapatan mereka.
Ada yang berniaga dari rumah, dan ada juga memilih untuk membuka gerai di tapak bazar Ramadan bagi menyediakan aneka juadah berbuka dengan perniagaan mereka itu menerima sambutan hangat daripada penyokong bola sepak tanah air.
Sesetengah penyokong beranggapan usaha sedemikian wajar diraikan kerana ia membuktikan kesungguhan pemain dalam menampung perbelanjaan diri dan keluarga, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami masalah tunggakan gaji.
BACA LAGI: 'Faisal okey, tapi Sumareh bila last main bola?'
BACA LAGI: Cklamovski kongsi sebab panggil Faisal Halim ke HM, 3 pemain warisan tiba minggu depan
Musim ini sahaja, dilaporkan terdapat tiga kelab Liga Super yang masih belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain dan kakitangan. Senario terburuk apabila tunggakan tersebut mencecah 10 bulan.
Bagaimanapun, peralihan daripada kehidupan sebagai atlet profesional kepada usahawan bukanlah sesuatu yang mudah, dan tanpa perancangan serta pengetahuan yang mencukupi, risiko kegagalan adalah tinggi.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain Malaysia yang bergelut dalam menceburi bidang perniagaan.
1) Dollah Salleh
Dollah melancarkan jenama kopi segera sendiri, Pablo Dollah Kopi pada November lepas.
Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Dollah Salleh adalah salah seorang legenda bola sepak Malaysia yang dikenali kerana kehebatannya sebagai penyerang prolifik pada era 1980-an dan 1990-an bersama skuad kebangsaan dan beberapa kelab terkenal di Liga Malaysia.
Selain beralih kepada profesion kejurulatihan selepas bersara, Dollah juga berkecimpung dalam dunia perniagaan namun perjalanannya dalam bidang berkenaan tidak begitu indah seperti karier bola sepaknya.
Dollah yang kini berusia 61 tahun itu berdepan episod hitam apabila gagal dalam dunia perniagaan melebihi 10 kali hingga membuatkan jurulatih itu yakin ia bukanlah dunia yang sesuai untuk diceburinya.
Memetik laporan media, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mengakui bahawa antara faktor yang membawa kepada kegagalan tersebut ialah kerana dia tidak membuat sebarang rujukan kepada pakar atau pihak jauh lebih berpengalaman terlebih dulu.
Meskipun mencatat 10 kali kegagalan namun Dollah tidak berputus asa apabila beliau melancarkan jenama kopi segera sendiri, Pablo Dollah Kopi pada November lepas. Pablo Dollah Kopi menawarkan pelbagai pilihan minuman.
2) Khalid Jamlus
Khalid di premisnya yang berlokasi di Kuala Langat, Selangor. — Agensi
Siapa masih ingat kisah bekas penyerang Perak, Khalid Jamlus melakukan lelongan kasut emas yang dimenanginya pada musim 2002 melalui bidaan di siaran langsung platform Facebook miliknya pada 2020.
Lebih menarik apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan berkenan membeli Kasut Emas dimiliki bekas pemain kebangsana itu pada satu nilai yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Hasil daripada lelongan berkenaan, pemenang kasut emas saingan Liga Perdana 1 musim 2002 itu menggunakannya sebagai modal untuk memulakan perniagaan gerai makan daging salai di Kuala Langat, Selangor.
Bagaimanapun, selepas sembilan bulan beroperasi, gerai tersebut ditutup akibat kesan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kekurangan pelanggan.
3) Rozaimi Abdul Rahman
Pernah dinobat antara 10 pemain terbaik Asia pada tahun 2012, karier Rozaimi Abdul Rahman hancur selepas menjadi mangsa nahas jalan raya pada 6 Julai 2014 yang turut mengakibatkan anak saudaranya, Awangku Mohd Faris, terkorban.
Selepas setahun kejadian ngeri itu, Rozaimi memilih membuka kedai gunting rambut dinamakan 'Mr Barber Shop' di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah sebagai permulaan perjalanan dalam dunia perniagaan.
Bagaimanapun, perniagaan tersebut seperti sudah gulung tikar apabila bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sabah itu dilihat tidak lagi membuat promosi kedai gunting rambutnya di media sosial.
Sebaliknya, pemain yang beraksi untuk Sabah Bawah 23 tahun itu dilihat aktif mempromosi perniagaan baharunya iaitu menjual kasut bola sepak di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram