
POHANG Steelers menjadi mangsa baharu kelab Korea Selatan yang dibelasah oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), selepas tewas 2-5 dalam aksi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sekali gus Harimau Selatan layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.
Sebelum ini, kelab-kelab di saingan utama Korea Selatan boleh dianggap sebagai antara gergasi yang sering mencipta sensasi menerusi pelbagai kejayaan di pentas Asia.
Namun, sejak beberapa tahun ini, JDT memastikan kelab-kelab utama dari Korea Selatan kini bukan lagi suatu cabaran besar untuk mereka hadapi.
BACA LAGI: Kerajaan negeri patut tanggung skuad Piala MFL demi bantu ringan beban kelab
Kejayaan terbaharu dilakar JDT pada Selasa lalu, apabila mereka tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk meraih kemenangan besar 5-2 mengatasi Pohang Steelers.
Pada aksi itu, JDT pada awalnya mengalami sedikit kesukaran untuk mengimbangi kekuatan lawan, sebelum mereka tampil lebih garang di babak separuh masa kedua.
Kemenangan itu juga memastikan JDT berjaya mara ke pusingan 16 terbaik kejohanan tersebut selepas mereka berada di kedudukan keempat peringkat Kumpulan A.
Namun adakah anda tahu, sebelum Pohang Steeler, tiga kelab Korea Selatan pernah menjadi mangsa di SSI:
1. JDT vs Gyeongnam FC
Harimau Selatan memastikan Gyeongnam gagal meraih tiga mata penting ketika aksi ACL (kini dikenali ACLE) peringkat Kumpulan E berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos (Larkin), apabila kedua pasukan itu mencipta keputusan seri pada 2019.
Hadir dengan reputasi tinggi, Gyeongnam terdahulu mendapatkan gol pada minit ke-52, sebelum kelebihan itu dipadam oleh bekas penyerang JDT, Diogo dos Santos beberapa minit kemudian menerusi sepakan penalti.
Statistik perlawanan itu juga tampil seimbang daripada segi penguasaan permainan dengan JDT dilihat lebih banyak mencipta percubaan ke arah lawan.
2. JDT vs Suwon Bluewings
Kali kedua menentang kelab dari Korea Selatan di pentas ACL musim seterusnya, JDT memastikan kejutan berlaku menerusi kemengan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Gol-gol JDT terhasil menerusi ledakan bekas pemain iaitu Gonzalo Cabrera serta Mauricio Nascimento untuk memastikan Harimau Selatan memperoleh tiga mata penting.
Sementara, Suwon Bluewings pula meraih satu gol tunggal melalui ledakan Terry Antonis untuk menewaskan Farizal Marlias yang sebelum itu bergelar penjaga gol utama JDT.
3. JDT vs Ulsan Hyundai
Rekod menyaksikan JDT telah pun bertemu Ulsan Hyundai sebanyak lima kali dengan empat daripadanya merupakan kemenangan buat kelab gergasi dari Malaysia itu.
Di bumi Johor sahaja menyaksikan JDT meraih semua kemenangan daripada tiga pertemuan mereka di SSI sejak 2022 lagi untuk membanggakan peminat.
Musim ini menyaksikan JDT meraih kemenangan 3-0 mengatasi Ulsan Hyundai pada 5 November tahun lalu untuk memastikan statistik lebih memihak buat Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram