[VIDEO] 'Ada lagi rupanya', fans terkejut lihat Syafiq Ahmad di padang latihan


  • Podium
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Syafiq hanya mencetak dua jaringan daripada 15 penampilan sejak menyertai skuad Sang Kenari secara pinjaman. — Facebook/KDA FC

SEMASA saingan Piala AFF hujung tahun lalu, berita buruk melanda kem Harimau Malaya selepas beberapa pemain mengalami kecederaan ketika perlawanan dan sesi latihan.

Antara yang berdepan situasi buruk tersebut ialah penyerang negara, Syafiq Ahmad ketika berdepan Timor Leste di laman sendiri sehingga menyaksikannya meninggalkan stadium dalam keadaan bertongkat.

Sejak itu, tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu tidak dapat diturunkan dengan kali terakhir dia beraksi adalah dalam saingan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 10 Januari lalu.

BACA LAGI: Syafiq Ahmad terlepas aksi bertemu Sabah?

BACA LAGI: Ramai tak perasan, 3 pemain termasuk Syafiq Ahmad alami perubahan posisi musim ini

Kehilangannya menyaksikan skuad Sang Kenari terus tempang memandangkan peranan memburu jaringan diletakkan di bahu Milos Gordic yang jelas bergelut untuk membantu pasukan tersebut.

Bagaimanapun, baru-baru ini, berita baik diterima penyokong kelab Utara tanah air tersebut apabila kelibat Syafiq kembali kelihatan di padang latihan bersama rakan sepasukannya yang lain.

Ini memberikan satu kelegaan buat Kedah yang sememangnya mengharapkan sentuhan pemain berusia 29 tahun itu dapat memberikan impak menjelang baki-baki perlawanan musim ini.

Tetapi, ada pula yang berasa hairan dengan kepulangannya kerana masing-masing sudah lama tidak menyaksikan aksi penyerang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) terbabit.

479103586_660332863014561_8839599889456303765_n

Syafiq menyertai latihan skuad Sang Kenari selepas berehat untuk beberapa minggu. Facebook/KDA FC

"Ada lagi rupanya dia ni," kata Muhammad Firdaus Abu Bakar.

"Lama tak nampak dia ni, harapnya dapatlah main balik," kata Muhammad Haziq Zambri.

"Jauh termenung nampaknya tu, tapi terkejut juga nampak dia di padang latihan. Rindu betul," kata Malik Kader.

Sejak menyertai KDA FC dengan status pinjaman, Syafiq hanya menjaringkan dua gol daripada 15 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk jaringan pertama Liga Super musim ini ketika berdepan PDRM FC.

Kekurangan bantuan daripada rakan sepasukan menyaksikan penyerang berkenaan bergelut untuk membantu skuad Sang Kenari yang kini berada di tangga kelapan Liga Super selepas 17 perlawanan.

Skuad bimbingan Victor Andrag itu bagaimanapun berkesempatan memperbaiki kedudukan itu apabila mereka berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan untuk berdepan skuad Jang pada 26 Februari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram