
SELAGI wisel terakhir belum berbunyi, peluang masih terhidang buat mana-mana pasukan meraih mata. Perak Phoenix membuktikan tidak putus asa menjadi resepi kejayaan untuk mereka bangkit menewaskan Selangor Angels.
Skuad bimbingan Fairul Fauziema berhasil menewaskan pasukan berpangkalan di Lembah Klang berkenaan dengan keputusan 37-30 dalam saingan minggu kedua Netball Super League (NSL) 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.
Selangor Angels mempertaruhkan skuad terbaiknya dibarisi Ellisa Hannah (Goal Shooter), Sirima Samnaree (Goal Attack), Aminah Ahmad (Wing Attack), Adila Azman (Centre), Firra Syuhada (Wing Defence), Noramirah Dayana (Goal Defence) dan Mikaela Minns (Goal Keeper).
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod Pahang dirampas, Ashwinii jadi kunci Putrajaya Dynamites raih kemenangan terbesar NSL
Manakala, Perak Phoenix pula meletakkan Khairunnisa Nazri (Goal Shooter), Batamuliza Mercy (Goal Attack), Aisyah Yahaya (Wing Attack) Nabilatul Suhaiba (Centre), Eska Syafinie (Goal Defence), Insyirah Rashidi (Wing Defence) dan Nanfuka Stella sebagai Goal Keeper.
Perak Phoenix pada awalnya ketinggalan dalam suku pertama dan kedua apabila mereka ditinggalkan dengan jurang lima mata untuk kedudukan 15-20.
Begitupun, anak-anak buah Fairul mempamerkan kebangkitan luar biasa selain jurulatih berkenaan mengubah taktikal menarik dengan meletakkan Khairunnisa sebagai Goal Attack.
Perubahan itu nyata berbaloi apabila Khairunnisa tampak lebih selesa untuk menjaringkan gol di posisi berkenaan dan seterusnya, menewaskan Selangor 37-30.
Balingan anak jati Trolak, Perak itu berhasil menyumbang 30 gol dalam perlawanan itu. Khairunnisa juga akui perubahan posisi dilakukan olah jurulatih memberi pasukannya kemenangan.
“Alhamdulillah menang. Nisa tidak percaya juga boleh menang kerana pada awalnya nampak agak kelam-kabut.
“Memang tidak menjadi tapi bila kita ubah posisi. Kita boleh bangkit. Sebab itu kita kena berani dan mempercayai rakan sepasukan,” kata Khairunnisa menerusi video dimuat naik Astro Arena selepas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan menentang Selangor Angels.
Perak Phoenix kini berada di kedudukan keempat dengan enam mata selepas meraih dua kemenangan dan tiga kali tewas dalam saingan minggu kedua hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram