Kecewa jadi punca penalti Perak, fans Penang mula pasrah andai Syamer pulang ke JDT


  • Podium
  • Ahad, 12 Jan 2025

Syamer tidak dapat mengawal bahagian tengah skuad Harimau Kumbang seperti mana diharapkan. — Facebook/Penang FC

KELEBIHAN dua gol yang dimiliki pada babak pertama tidak memberi sebarang makna buat skuad Harimau Kumbang apabila mereka hanya meraih satu mata daripada aksi Liga Super menentang Perak FC di laman sendiri pada Ahad.

Jaringan hatrik daripada pemain kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls pada awalnya memberi harapan buat penyokong Penang FC yang sudah lama tidak berasa kemenangan dalam liga.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan pada separuh masa kedua menyaksikan kelebihan itu terpadam dengan Clayton Santos dan Adilet Kanybekov masing-masing menjaringkan satu gol.

BACA LAGI: Tiga kelab Liga M termasuk Sri Pahang berputih mata, Jesper rupanya kembali warnai Liga Thailand

BACA LAGI: 'Playmaker' kelab Pantai Timur ikut jejak langkah Jesper Nyholm, sertai kelab Thailand

470197167_1152643326376320_7356922170897853053_n

Wenzel-Halls mencetak tiga gol dalam aksi di laman sendiri. Facebook/Penang FC

Meskipun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk mencatatkan kemenangan, kedua-dua pasukan terpaksa melupakan hasrat untuk meraih tiga mata dengan penyokong tuan rumah lebih kecewa akan keputusan itu.

Bagi mereka, kesilapan demi kesilapan terjadi di atas padang sepatutnya boleh dielak, termasuk daripada Syamer Kutty Abba yang menarik Wan Zack Haikal Wan Noor sehingga pengadil memberikan sepakan penalti.

Penyokong Harimau Kumbang beranggapan pemain dengan kaliber sedemikian tidak sepatutnya mengambil tindakan sedemikian kerana hanya merugikan pasukan.

"Syamer tu nampkanya sudah keletihan, tetapi kita tiada pengganti setandingnya. Itulah kenapa barisan jurulatih tidak mengeluarkannya. Musim depan boleh cari pemain sepertinya," kata Mohd Ikram Fikry.

472665139_615036261076753_287495846260965442_n

Kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata selepas terikat 3-3. Facebook/Perak FC

"Syamer tu rasanya boleh dihantar pulang ke JDT. Kasihan tengok Wenzel tu, dia berpusing satu padang untuk mendapatkan bola," kata Nabil Hafiy.

Melihat kepada luahan berkenaan, penyokong Penang FC enggan menyalahkan pemain kebangsaan terbabit kerana dia bertanggungjawab dalam mencipta gol buat Wenzel-Halls.

Namun, kesilapan sedemikian tidak perlu dilakukan kerana Syamer sepatutnya menjadi tonggak yang diharapkan dapat membantu skuad Harimau Kumbang menjadi lebih baik berbanding musim-musim lalu.

Keputusan seri itu menyaksikan Penang FC yang berada di bawah bimbingan Wan Rohaimi Wan Isnmail menduduki tangga ke-11 sementara Perak FC naik ke tangga kelapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram