"LIGA Thailand berkualiti dan profesional."
Itulah ungkapan daripada pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim selepas mengulas mengenai perjumpaan yang dilakukan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam.
Baru-baru ini, peminat tanah air menerima khabar gembira apabila difahamkan peluang untuk menyaksikan pemain muda Malaysia beraksi di Thailand makin terbuka luas.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Maaf Malaysia', Haqimi Azim beri bayangan Harimau Malaya akan bangkit
BACA LAGI: Aura Stadium Merdeka tak membantu, keputusan seri letakkan Selangor kekal di tangga ke-3
Fergus Tierney antara pemain muda tanah air yang pernah beraksi di Liga Thailand. — Facebook/FAM
Ia selepas Presiden FAT, Nualpham atau lebih mesra dikenali dengan Madame Pang membincangkan beberapa perkara penting bersama Tunku Ismail bagi mengukuhkan kerjasama antara Johor dan juga Thailand.
Mengulas lanjut mengenai berita baik itu, Zulakbal berpendapat bahawa khabar gembira berkenaan sedikit sebanyak mampu memberi peluang kepada pemain muda tanah air melebarkan sayap di Thailand.
Menurutnya, pertemuan tersebut menunjukkan pengaruh positif TMJ dan kesungguhan baginda dalam membantu pemain muda di Malaysia.
"Melalui pertemuan tersebut lagi-lagi dengan pengaruh yang ada pada TMJ serta kesungguhan baginda, saya yakin pihak Thailand akan membuka ruang kepada pemain muda kita," katanya kepada Majoriti.
Safawi merupakan antara pemain bintang pernah mencuba nasib di Thailand. — Facebook/Ratchaburi FC
Di samping itu Zulakbal bersetuju bahawa kehadiran pemain Malaysia akan memeriahkan suasana Liga Thailand.
"Sudah tentu lebih meriah, kita sudah masuk ke era baharu sekarang, apatah lagi jika kelab-kelab di Thailand boleh mendapatkan bakat muda yang lebih murah tapi berkualiti," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kemampuan pemain muda tanah air beraksi di Liga Thailand, Zulakbal berharap agar ubi muda negara akan menghadirkan persaingan yang tinggi di negara jiran itu.
"Kita tidak berani menjanjikan tetapi kita tunggu dan lihat supaya pemain muda ini belajar dari Liga Thailand yang lebih berkualiti dan profesional.
"Bukan itu sahaja, pemain muda tanah air perlu cepat belajar dengan budaya tempatan Thailand yang lebih keras kerana memerlukan tahap mentaliti yang lebih kuat selain kekuatan teknikal, fizikal dan taktikal yang ampuh agar mampu survive di Liga Thailand," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram