Rugi cecah RM700,000, rakyat Malaysia ancam boikot konsert Jakarta, serik diperas ugut polis korupsi Indonesia


  • Massa
  • Rabu, 25 Dis 2024

DWP yang berlangsung selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara, berakhir pada 15 Disember lalu.

PIHAK berkuasa Indonesia melaporkan seramai 45 warga Malaysia menjadi mangsa pemerasan didakwa dilakukan oleh anggota polis semasa konsert Djakarta Warehouse Project (DWP) baru-baru ini.

Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Negara, Inspektor Jeneral Abdul Karim memaklumkan bukti kerugian yang berjaya dikesan daripada kegiatan tersebut bernilai kira-kira 2.5 bilion rupiah (RM717,922.87).

"Dua aduan rasmi telah dibuat oleh warga Malaysia itu," katanya dalam sidang media disiarkan secara langsung oleh Metro TV, sambil menambah bahawa identiti suspek terbabit akan dirahsiakan sepanjang siasatan.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Tegasnya, kes itu sedang dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.

“Kami, pimpinan Polis Negara, serius menangani sebarang bentuk pelanggaran yang dilakukan oleh anggota polis kami, dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja, tidak kira siapa mangsanya,” tambahnya.

Pada Sabtu, polis Indonesia menahan 18 anggotanya kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia festival muzik tiga hari, DWP di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember lalu.

Susulan penahanan tersebut, Menteri Pelancongan Indonesia, Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka dalam menyiasat dakwaan pemerasan terhadap pelancong semasa konsert berkenaan.

"Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan impak yang timbul akibat kejadian ini," katanya.

GfZsDSEbsAAEl7G

Seramai 45 warga Malaysia menjadi mangsa pemerasan didakwa dilakukan oleh anggota polis semasa konsert DWP baru-baru ini. — DWP

DWP sebelum ini dalam satu kenyataan mengakui mengenai kejadian itu dan menyatakan kekesalan terhadap insiden yang dialami oleh pengunjung.

"Walaupun aspek tertentu situasi tersebut berada di luar kawalan kami, kami memahami sepenuhnya kesannya terhadap anda," menurut kenyataan itu dalam satu hantaran di Instagram rasmi mereka pada Rabu.

Susulan daripada insiden terbabit, ramai pengunjung melahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku.

Malah, rakyat Malaysia yang hadir pada acara tersebut turut mengakui agak trauma dan serik untuk kembali menyertai festival muzik tersebut pada masa akan datang.

Pada masa sama, terdapat juga antara mereka berkongsikan pengalaman menakutkan yang dihadapi ketika tampil pada konsert berkenaan.

"Saya rakyat Malaysia dan saya tidak pergi ke sana lagi. Kawan-kawan saya yang tidak bernasib baik semua ditangkap secara rawak, walaupun mereka tidak melakukan dadah dan ujian air kencing adalah negatif.

"Saya telah datang menyertai DWP banyak kali tetapi tahun ini cukup teruk. Kami tidak berasa selamat sama sekali untuk menikmati muzik.

"Saya tidak akan mengesyorkan rakan saya untuk pergi ke festival muzik ini lagi. Jadi ya, tidak lagi untuk DWP," kongsi sunduuuuuu.

"Selama 10 tahun, saya menyokong dan sangat seronok menyertai DWP. Tetapi untuk tahun ini, ia bertukar menjadi mimpi ngeri. Pada malam kedua, polis menyerbu hotel kami semasa kami sedang tidur.

"Mereka membawa kami ke ibu pejabat dan melakukan lakonan yang cukup baik untuk memeras sehingga 300 juta rupiah (kira-kira RM83,600) daripada kami.

"Saya sukakan Indonesia, tetapi saya tidak akan menghadiri DWP lagi," katanya," ujar zainal_rahman68.

Sementara itu, seorang pengguna, ez.rawr mendakwa dia dan rakannya menyedari mengenai kehadiran polis yang menyamar sebagai 'mata-mata', dipercayai untuk mencari mangsa ketika konsert berkenaan.

"Ada dua orang polis yang menyamar melihat saya dan rakan saya selama 15 minit terus. 10 minit kemudian, mereka pergi memberhentikan pasangan lain secara rawak tanpa sebab sebelum mengiringi pasangan itu ke tempat lain.

"Terasa tidak selamat selepas mendengar cerita negatif berkenaan konsert terbabit. Perbuatan memeras ugut cukup mengerikan. Saya tidak akan pernah kembali ke DWP dan sebaliknya akan menghadiri festival di Thailand," ujar ez.rawr. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram