Keputusan Kedah tolak DSAT Group dapat restu, fans risau terpaksa hadap pemilik gemar tabur janji manis


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar Daud Bakar (kiri) dan Azizul Tandek ketika mengadakan perbincangan mengenai masa depan skuad Sang Kenari. — Facebook/Dato' Seri Azizul Tandek

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memutuskan untuk menolak tawaran DSAT Group yang sebelum ini menyatakan hasrat mereka untuk menjadi pemilik baharu skuad Sang Kenari.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pasukan Hijau Kuning mengesahkan pihak mereka sudah membalas tawaran terhadap DSAT Group dikhususkan kepada anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC).

BACA LAGI: Anggap anasir luar punca Kedah tolak tawaran, DSAT Group, MMC sedia ambil tindakan undang-undang

BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT

"Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada MMC untuk memaklumkan bahawa kelab telah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.

"Kami mendoakan yang terbaik kepada MMC dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan," memetik kenyataan yang dikeluarkan Sang Kenari pada Isnin.

Pendirian diambil kelab Utara tanah air berkenaan dilihat dibuat berikutan desakan orang ramai yang seperti kurang yakin terhadap Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek.

Sehinggakan, ada juga segelintir ekor Sang Kenari yang khuatir jika DSAT Group hanya pandai menabur janji manis yang didakwa umpama pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan sapaan Zamsaham.

Norizam yang mula mengambil alih Kelantan pada musim 2020 dengan nilai RM6.8 juta tidak mampu bertahan lama apabila gagal untuk menyertai mana-mana saingan liga susulan masalah hutang tertunggak mereka.

Sebelum ini, pasukan Pantai Timur berkenaan telah ditendang daripada saingan Liga Super selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain selain kes di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kelab itu kemudiannya mengalihkan tumpuan untuk menyertai Liga A1 Semi-Pro dengan pentadbir Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memberikan syarat untuk Kelantan mendaftarkan minimum 20 pemain.

Namun, skuad Kelantan gagal untuk memenuhi syarat tersebut sekali gus menyaksikan pemilik Norizam mengumumkan pasukan itu menarik diri daripada saingan liga.

ZAM

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman. — Facebook/TRW

Kegagalan ahli perniagaan itu menguruskan Kelantan dikhuatiri akan berlaku kepada DSAT Group susulan organisasi berkenaan juga dilihat tidak mempunyai pengalaman menjaga kelab bola sepak seperti Norizam.

"Nasib baik, nampak gaya macam Zambual (Zamsaham) saja dia ini," kata penyokong Kedah, Nasrul Ismail.

"Kadang-kadang dalam keadaan terdesak, bukan senang nak buat keputusan yang waras dan terbaik. Tahniah KDA FC. Banyak pihak akan ambil kesempatan dalam kesempitan," ujar penyokong Hijau Kuning, Haniff Adzmi.

"Alhamdulillah keputusan yang tepat dan terbaik. Tahniah buat pihak KDA FC, dengan penuh harapan agar KDA FC terus berusaha keras bagi memajukan kelab ini," tambah penyokong tegar Kedah, Puaka Jerai.

Dalam perkembangan berbeza, MMC tampil mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka terbuka menerima jawapan pihak pengurusan KDA FC yang tidak berminat akan tawaran yang diberikan DSAT Group.

Namun, mereka turut beranggapan tindakan terbabit dibuat selepas pihak pengurusan kelab Liga Super itu dihasut dengan retorik bahawa DSAT Group sukar dipercayai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram