Rekod Perak di Temerloh buat fans Yob yakin peluang tempah tiket semifinal Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Skuad TBG mahu meraih kemenangan untuk memastikan mereka lolos ke separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/Perak FC

KEKALAHAN tipis 0-1 dialami Perak FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia kepada Sri Pahang FC sedikit sebanyak menyukarkan hasrat kelab Utara tanah air itu untuk mara ke pusingan seterusnya.

Dalam perlawanan di Stadium Manjung, Perak pada 13 Disember lalu, anak-anak buah Yusri Che Lah sememangnya tidak bernasib baik apabila bolos kepada tandukan Kpah Sherman pada babak pertama permainan.

Meskipun serangan dilancarkan tuan rumah pada 45 minit kedua, skuad The Bos Gaurus (TBG) gagal membolosi gawang pasukan pelawat selepas menerapkan taktikal bertahan demi mencatatkan 'clean sheet'.

BACA LAGI: Piala Malaysia: KL City tak bernasib baik, ramai pemain terpaksa diketepikan bertemu JDT — Kuljanac

BACA LAGI: Bekas juara Piala Malaysia disebut-sebut buat 'comeback', tak mustahil sejarah mungkin berulang

470174301_597726709474375_3714603125935460790_n

Penyokong skuad TBG yakin akan peluang pasukannya layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Facebook/Perak FC

Pendekatan tersebut sememangnya berhasil dengan perlawanan itu berakhir dengan kekalahan 0-1 buat Perak FC, sekali gus meletakkan tekanan buat mereka meneruskan kempen terbabit.

Bagaimanapun, penyokong juara lapan edisi Piala Malaysia tersebut enggan mengibar bendera putih terlalu awal kerana masing-masing percaya peluang masih terbuka buat mereka.

Ini kerana defisit jaringan antara kedua-dua pasukan masih kecil dengan satu gol daripada skuad TBG dalam pertembungan itu boleh mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Tidak cukup dengan itu, rekod Perak FC beraksi di Stadium Temerloh, Pahang sememangnya baik kerana ketika berdepan dalam Liga Super, pasukan tersebut meraih tiga mata penuh.

"Perak selalu menang di tempat lawan dan Sri Pahang FC pun tewas ketika mereka menerima kunjungan skuad TBG. Jadi, tidak mustahil untuk Perak ulangi sekali lagi.

461192259_541538031759910_8195459074874176501_n

Skuad TBG meraih kemenangan bergaya 3-0 ketika berkunjung ke Stadium Temerloh. Facebook/Perak FC

"Wajib menang dan perlu cari jaringan awal dan teruskan cari lagi jaringan, bukannya perlahankan permainan apabila sudah menjaringkan gol. Kurangkan hantaran ke belakang yang merugikan permainan," kata Are Rie.

"Pernah terjadi kita tundukkan Sri Pahang FC di Stadium Temerloh. Kali ini, kita akan hentamkan lagi," kata Akmal Hakim Zuhairi.

"Kalau melihat kepada rekod sebelum ini, kita boleh menang. Walaupun kita baru bermain di situ sekali, kita boleh percaya peluang berpihak kepada kita," kata Zamri Jamal.

Dalam pertembungan pada 28 September lalu, Perak FC mencatatkan kemenangan 3-0 dengan dua gol skuad TBG dicatatkan Luciano Guaycochea dan satu lagi disumbangkan Firdaus Saiyadi.

Tiga mata itu meletakkan kelab Utara tanah air berkenaan di kedudukan ketujuh selepas 16 perlawanan sementara Sri Pahang FC kini terdampar di tangga ke-10, namun kurang dua perlawanan berbanding lawan mereka itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram