[VIDEO] Gol lencong Hardi Jaafar, tenggelamnya chant ‘terlampau’ di SNBJ antara detik hebat aksi Malaysia-Singapura


  • Podium
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Tragedi Keeper Kat Mane? (kiri) membalas dendam tindakan Shahril Ishak (kanan) mendiamkan Bukit Jalil pada 2012.

PERMUSUHAN antara Malaysia dan Singapura memasuki babak baharu apabila kedua-duanya bertemu pada aksi terakhir kumpulan A Piala Asean pada Jumaat.

Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi saksi pertarungan penting kedua-dua negara dengan Malaysia mesti menang sementara Singapura sekadar perlukan seri untuk mara.

Situasi tersebut sudah cukup untuk menghangatkan pertarungan musuh tradisi Seberang Tambak yang sudah sedia panas sejak dari dahulu dengan pelbagai perisitiwa menarik.

BACA LAGI: Pernah belasah Singapura, Aguero yakin HM mampu ulangi kejayaan sama bertemu musuh tradisi

BACA LAGI: Awas Harimau Malaya, 3 tonggak Singapura bakal menyusahkan sebab ada pengalaman di tanah air

Lencongan Hardi Jaafar lemaskan Lionel Lewis

Jika menyebut permusuhan antara dua negara ini, pastinya tidak dilupakan jaringan yang terhasil oleh bintang berkaki kiri Harimau Malaya iaitu Hardi Jaafar.

Bertemu pada Piala Asean edisi 2007 di Stadium Shah Alam, Selangor. Perlawanan separuh akhir pertama antara kedua-dua negara dilihat suram sehinggalah minit ke-57 Malaysia meraih jaringan.

Percubaan dari sebelah kiri oleh Hardi melencong masuk ke dalam pintu gol Singapura yang dikawal oleh Lionel Lewis dan itu membuatkan Stadium Shah Alam bergema dengan sorakan penyokong Harimau Malaya.

Namun begitu, jaringan itu tidak cukup apabila Singapura kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Noh Alam Shah. Malaysia kemudiannya tewas di separuh akhir menerusi keputusan agregat.

Gol Shahril Ishak diamkan Bukit Jalil

Kedua-dua negara bertemu sekali lagi di Piala Asean 2012 tetapi di peringkat kumpulan dengan Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan tahun tersebut.

Waktu itu, permusuhan antara Malaysia dan Singapura cukup hebat dek kerana penyertaan Lions XII di Liga Super yang dilihat lebih menguntungkan negara kepulauan itu.

Ketika pertemuan yang merupakan aksi pertama peringkat kumpulan, provokasi begitu jelas dilakukan oleh penyokong Malaysia menerusi Ultras Malaya apabila mereka bersorak "Singapore a****g, dibunuh saja". Sebaik saja sorakan itu muncul, kapten Singapura iaitu Shahril Ishak menolak masuk bola ke gawang Malaysia dan mendiamkan Bukit Jalil.

Gol itu membuka kepada pintu kekalahan Malaysia yang tumpas 0-3. Lebih perit, Singapura kemudiannya muncul sebagai juara Piala Asean edisi tersebut.

Keeper kat mana?

Insiden ini antara detik memalukan Singapura ketika mereka tumpas kepada Malaysia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asean 2014.

Beraksi di Hab Sukan Nasional, Kallang, Singapura, Harimau Malaya memerlukan kemenangan sementara Singapura cuma kena seri untuk mara - sama seperti situasi edisi 2024.

Malaysia mendahului menerusi Safee Sali sebelum Khairul Amri menyamakan kedudukan pada babak akhir permainan untuk menutup peluang Malaysia. Mujur, Malaysia dihadiahkan sepakan penalti dan Safiq Rahim menyempurnakannya.

Tertekan memerlukan keputusan seri, Singapura menolak naik penjaga gol, Hassan Sunny ke kotak penalti Malaysia semasa mereka memperoleh sepakan percuma. Malangnya, Malaysia berjaya melakukan serangan balas pantas sebelum Indra Putra Mahayuddin menolak bola ke gawang yang kosong untuk memastikan Harimau Malaya mara.

Ketika itu, lagu berunsur pop oleh penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah bertajuk #AwakKatMane sedang hangat di pasaran. Lantas, muncullah terma "Keeper kat mane?" yang masih digunakan untuk mengusik penyokong Singapura sehingga hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram