KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac, gusar persembahan anak-anak buahnya berdepan juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia 2024 pada Sabtu, lapor Stadium Astro.
Selain waktu persiapan yang kurang mencukupi, Kuljanac turut kehilangan beberapa pemain ekoran kecederaan dan tugasan bersama skuad kebangsaan.
"Persiapan sangat singkat. Kami hanya mempunyai dua hari latihan sahaja termasuk sesi pemulihan selepas pertemuan menentang Negeri Sembilan FC.
BACA LAGI: Ledak hatrik kemudian dibuang padang, P.Maniam akui Ifedayo tak patut dilayangkan kad merah
Ketajaman Brendan Gan (dua kanan) ditagih bagi membantu The City Boys meraih keputusan positif di SSI nanti.
"Kami tidak bernasib baik tatkala ramai pemain terpaksa diketepikan. Ada yang cedera dan ada yang perlu mewakili skuad kebangsaan.
"Saya perlu menggunakan kekuatan sampingan daripada pemain Bawah 23 Tahun (B-23).
"Saya tidak mempunyai pelbagai pilihan berdepan JDT. Ia tidak mudah. Kami tetap berjuang habis-habisan meskipun kurang kelebihan gol," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya oleh wartawan sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, mengenai kebarangkalian Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli dan Declan Lambert bakal kembali memperkuat skuad The City Boys itu, Kuljanac bagaimanapun enggan menaruh tinggi kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya itu.
"Tidak mungkin mereka mampu bermain untuk KL City lebih-lebih lagi jika mereka bertahan sehingga 90 minit aksi bertemu Singapura yang akan tamat dalam pukul 11 malam dan pertemuan esok pada pukul 5.30 petang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram