MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan lebih 29,000 aduan melalui pelbagai platform bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, jumlah itu menjadikannya antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan jumlah aduan tertinggi di negara ini.
Menurutnya, secara purata MBSJ menerima kira-kira 2,000 aduan setiap bulan, termasuk pertanyaan umum daripada penduduk.
BACA LAGI: [VIDEO] Tali kren tiba-tiba terputus, pekerja maut kena hempap plat besi seberat 2 tan
BACA LAGI: [VIDEO] Macam tiada perasaan, lelaki kutip tangan sendiri lepas ditetak parang ketika bergaduh
"Daripada jumlah itu, sekitar 500 laporan setiap bulan diterima menerusi 24 saluran WhatsApp yang disediakan khusus untuk orang ramai mengemukakan aduan kepada jabatan berkaitan.
“Saluran lain termasuk laman web MBSJ melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa), kaunter di pejabat MBSJ, talian telefon 03-8024 7700 dan Sistem Pengurusan Aduan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-Tegur),” katanya.
Mohd Zulkurnain berkata, MBSJ sentiasa mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima.
Selangor rekod aduan tertinggi
Jelas Mohd Zulkurnain, MBSJ berkemungkinan menjadi pihak berkuasa tempatan dengan jumlah aduan tertinggi di Selangor, sekali gus mencerminkan kepercayaan penduduk terhadap majlis untuk menyelesaikan isu-isu setempat.
Ujar beliau, pihaknya sentiasa mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima.
"Apabila penduduk mengemukakan aduan, kami akan memberikan maklum balas dan menyelesaikannya.
"Kerjasama kami dengan persatuan penduduk dan Ahli Dewan Undangan Negeri setempat juga amat berkesan,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa isu yang memerlukan tempoh masa lebih lama untuk diselesaikan susulan kos yang tinggi, seperti pembinaan saliran besar.
Masalah lampu rosak
Mengulas lanjut, Mohd Zulkurnain memaklumkan bahawa masalah lampu rosak dan landskap merupakan antara aduan yang paling kerap diterima.
Katanya lagi, banyak pokok di sekitar bandar Subang Jaya yang telah matang kini memerlukan belanjawan besar untuk kerja-kerja pemangkasan atau penebangan.
“Kami menangani setiap kes berdasarkan keutamaan. Dengan musim monsun yang melanda, fokus kami adalah untuk memangkas pokok di kawasan berisiko tinggi.
"Setakat ini, kami berjaya menguruskan aduan-aduan ini dengan baik,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan komitmen pihak majlis terhadap ketelusan dan tanggungjawab kepada penduduk.
Mohd Zulkurnain berkata, mereka tidak boleh menyembunyikan aduan daripada penduduk kerana ia adalah hak mereka untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan terjaga.
"Penduduk mempercayai kami dan kami mesti menunaikan tanggungjawab ini,” tegasnya.
Program kitar semula sekolah
Dalam perkembangan lain, Mohd Zulkurnain turut berkongsi kejayaan Program Pertandingan Kitar Semula Sekolah MBSJ 2024 yang melibatkan 23 sekolah.
Program tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah 46,372 kilogram (kg) bahan kitar semula dari Januari hingga Oktober tahun ini.
“Tahun lalu, hanya sembilan sekolah menyertai program ini dengan jumlah kutipan sebanyak 18,270kg.
"Peningkatan ini menunjukkan tanda positif dalam usaha memelihara alam sekitar, bermula dari institusi sekolah,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa program tersebut bertujuan menanamkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai penjagaan alam sekitar serta membentuk generasi masa depan yang lebih prihatin terhadap isu-isu alam sekitar.
“Dengan meneruskan program ini, kita boleh mendidik pelajar untuk lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya. — The Star/MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram