[VIDEO] Vivy Yusof dan Fadzarudin mengaku tak salah pecah amanah dana pelaburan PNB, Khazanah RM8 juta


(Dua dari kiri) Fadzarudin dan isterinya Vivy didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta pada Khamis. 

PENGASAS platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta pada Khamis.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka tersebut, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

BACA LAGI: Disyaki kena baham buaya, ayah hilang sekelip mata dari pandangan anak ketika cuci bot di Sabah

BACA LAGI: Angkara kontrak, bintang TBG, Terengganu, Kedah tinggalkan kelab pertengahan musim Liga Super

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara dekat Bukit Damansara, Selangor pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM100,000 hingga RM200,000 setiap seorang.

Beliau berkata, jumlah yang ditawarkan adalah munasabah berdasarkan keseriusan kesalahan tersebut.

"Pendakwaan mempunyai hak untuk memohon syarat tambahan bagi jaminan. Dalam kes ini, kami memohon supaya tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

"Kami juga memohon agar pasport mereka diserahkan kepada mahkamah kerana terdapat risiko untuk melarikan diri, dan kami perlu memastikan keadilan untuk semua pihak yang terlibat.

"Mereka boleh membuat permohonan untuk mendapatkan kembali pasport mereka pada bila-bila masa atas alasan yang munasabah," katanya.

ezgif.com-webp-to-jpg-converter (1)

(Dari kiri) Vivy dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Sementara itu, Peguam, Ashok Athimulan, yang mewakili pasangan tersebut, berhujah bahawa jumlah jaminan itu terlalu tinggi dan hampir bersifat menghukum.

"Anggapan adalah mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," katanya.

Ashok juga menyatakan bahawa anak guamnya tiada risiko melarikan diri dan telah bekerjasama semasa siasatan tanpa mengelak pihak berkuasa.

"Mereka mempunyai empat orang anak. Mereka tinggal di Kuala Lumpur dan keluarga mereka juga berada di sini.

"Mereka telah menafikan tuduhan dan ingin membersihkan nama mereka," katanya.

Peguam itu turut menyebut bahawa Vivy dan Fadzarudin menghadapi kesukaran kewangan dan terpaksa bergantung kepada rakan serta keluarga mereka secara kewangan.

Hakim Rosli menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Beliau membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan dan mengarahkan tertuduh untuk tidak mengganggu atau mempengaruhi saksi-saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 22 Januari tahun depan. — The Star/ NURBAITI HAMDAN dan TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram