Hanya seri dengan Kemboja, ekor HM cuma mahu kudrat 'ubi muda' dikerah berdepan Timor Leste


  • Podium
  • Ahad, 08 Dis 2024

Keputusan seri dicatatkan skuad kebangsaan di Kemboja sememangnya sukar diterima. — Facebook/FAM

PERMULAAN kurang memuaskan direkodkan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF 2024 apabila mereka hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Kemboja di tempat lawan pada Ahad.

Selepas berada di hadapan menerusi gol Stuart Wilkin pada minit ke-35, kelekaan dalam barisan pertahanan menghukum Harimau Malaya yang dibolosi sebanyak dua kali.

Tekanan jelas dirasai pasukan negara yang sudah tentu mahu mengumpul tiga mata penuh bagi permulaan kempen memandangkan aksi lebih getir menanti mereka selepas ini.

BACA LAGI: Ekor Harimau Malaya lebih realistik, cuma mahukan pemain beri aksi terbaik sepanjang Piala AFF 2024

BACA LAGI: Cungkil 'hidden gem' Harimau Malaya, FAM rugi jika lepaskan Pau Marti

469749619_1285334809206419_1449282971611512678_n

Jaringan Tierney (kiri) sedikit sebanyak menyelamatkan maruah Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Namun, skuad kebangsaan akhirnya dapat menarik nafas lega apabila pemain simpanan, Fergus Tierney menjaringkan gol penyamaan beberapa minit selepas dibawa masuk.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata dibawa pulang.

Keputusan itu sememangnya belum cukup buat penyokong Harimau Malaya yang beranggapan kudrat 'ubi muda' perlu ditagih dalam perlawanan akan datang menentang Timor Leste.

"Sepatutnya, perlawanan ini hanya menurunkan pemain muda. Ini, mahu juga menurunkan pemain berusia. Antara pemain yang boleh diberi minit lebih banyak adalah G Pavithran," kata Sya Kirin.

"Betul keputusan Pau Marti untuk letak jawatan selepas kempen Piala AFF ni tamat. Teruk sangat permainan Harimau Malaya, kelam-kabut. Boleh dah cari pemain lebih muda untuk bermain," kata Mohd Asri Abu Bakar.

"Lebih baik gunakan pemain muda selepas ini kerana nampak perbezaan ketara selepas mereka dimasukkan. Harapnya boleh dibuat begitu bagi aksi berdepan Timor Leste," kata Haziq Munir.

Peluang meraih tiga mata dimiliki Harimau Malaya apabila mereka akan menerima pasukan di tangga ke-196 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram