PENYINGKIRAN skuad Gergasi Merah daripada Piala Malaysia sememangnya sesuatu yang mengecewakan kerana ia merupakan peluang terakhir bagi mereka untuk sekurang-kurangnya menjulang trofi domestik musim ini.
Lebih mengecewakan lagi, mereka tersingkir daripada kejohanan itu kepada Sri Pahang FC yang berdepan isu pengurusan sejak awal kempen dengan pemain melaporkan gaji tidak dibayar untuk beberapa bulan.
Jadi, tidak hairanlah kekalahan itu menyebabkan penyokong Merah Kuning melontarkan kekecewaan kepada pasukan Lembah Klang tersebut yang sepatutnya mudah menempah slot ke pusingan seterusnya.
BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga bintang Muangthong United jadi tugas getir pertama Katsuhito Kinoshi kemudi Selangor FC
Skuad Gergasi Merah tersingkir dari Piala Malaysia kepada Sri Pahang FC. — Facebook/Selangor FC
Apatah lagi, melihat kepada prestasi pasukan kebelakangan ini, skuad Gergasi Merah cukup bergelut dengan hanya satu kemenangan direkodkan dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Situasi sedemikian menyebabkan orang ramai mula menimbulkan persoalan, di manakah silapnya pasukan terbabit musim ini sehingga menyaksikan perbezaan ketara berbanding pada 2023.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga faktor yang berkemungkinan menyebabkan Selangor FC berdepan pelbagai masalah sehingga sukar meraih kepercayaan penyokong.
1. Kerap mengubah jurulatih
Musim lalu, skuad Gergasi Merah memberi kepercayaan penuh kepada Tan Cheng Hoe dengan dia diberi ruang sepenuhnya sepanjang dua jendela perpindahan Liga Super.
Peluang tersebut membolehkannya mengenal pasti wajah baharu terbaik untuk dibawa masuk selain mengetahui kelemahan setiap pemain kerana diberi masa lebih lama bagi sesi latihan dan analisis.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba, pengendali kelahiran Kedah itu bertindak menebus kontrak pada awal musim dan hanya digantikan Nidzam Jamil yang sebelum ini bertindak sebagai pembantunya.
Kinoshi merupakan pengendali ketiga dilantik tahun ini. — Facebook/Selangor FC
Keputusan itu pada awalnya membuahkan hasil dengan rentetan keputusan positif diraih, termasuk berjaya membawa skuad Gergasi Merah ke pentas akhir Piala FA 2024.
Namun, skrip sama sekali lagi berulang apabila jurulatih tersebut melepaskan jawatannya sebelum menyaksikan Katsuhito Kinoshi tampil menjadi pengendali ketiga dalam tempoh setahun buat pasukan itu.
Perubahan terlalu kerap itu menyaksikan skuad Gergasi Merah sukar meraih kestabilan di atas padang sehingga menjadikan mereka tewas dalam dua aksi berturut-turut, termasuk ketika tersingkir daripada kempen Piala Malaysia.
2. Terlalu mudah berpuas hati
Tidak boleh dinafikan kejayaan melangkah ke pentas Asia merupakan sesuatu yang amat membanggakan buat pasukan tersebut kerana kali terakhir mereka berbuat demikian adalah pada 2016.
Peluang itu bagaimanapun tidak diambil sebaiknya apabila mereka masih bergelut untuk meraih keputusan positif dengan peluang layak ke peringkat seterusnya semakin tipis.
Isu tersebut boleh dikatakan berpunca daripada sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian sedemikian sehingga gagal menterjemahkannya di atas padang sepanjang kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Skuad Gergasi Merah gagal memanfaatkan peluang layak ke Asia dengan sebaiknya. — Facebook/Selangor FC
Buktinya adalah apabila pihak pengurusan melakukan keraian berlebihan atas kejayaan tidak seberapa itu meskipun ada yang melihat perkara itu boleh diterima selepas bertahun-tahun mencuba.
Sekiranya mereka berjaya melayakkan diri musim depan, Selangor FC perlu memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk memastikan kejayaan menempah tiket ke Asia tidak disia-siakan begitu sahaja.
3. Isu 'squad depth' tidak diberi tumpuan
Sepanjang musim ini, skuad Gergasi Merah sudah melakukan perbelanjaan besar dalam kedua-dua jendela perpindahan dengan membawa masuk lambakan import baharu setiap kali diberikan peluang.
Keputusan itu sememangnya wajar dibuat memandangkan khidmat pemain luar negara adalah penting, lebih-lebih lagi melihat kepada tugasan berat yang akan ditempuhi di peringkat Asia.
Namun, Selangor FC masih degil untuk menyelesaikan isu squad depth yang terhad dengan tiada pemain tersedia untuk mengisi posisi penting sekiranya terdapat isu kecederaan atau masalah prestasi.
Kualiti skuad Gergasi Merah masih belum cukup memuaskan. — Facebook/Selangor FC
Sebagai contoh, kehilangan Faisal Halim di posisi sayap kiri tidak diuruskan sebaiknya sehingga mendesak pemain seperti Yohandry Orozco dan Mukhairi Ajmal diletakkan bagi mengisi ketiadaannya.
Kualiti pemain tersedia dalam pasukan seperti Syahir Bashah dan Aliff Haiqal Lau juga masih belum cukup memuaskan dengan masing-masing gagal membawa impak setiap kali diturunkan.
Solusi terbaik boleh diambil skuad Gergasi Merah untuk masalah itu adalah dengan melakukan rombakan besar-besaran pada jendela perpindahan akan datang bagi menyingkirkan mereka yang kurang berkualiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram