PERTEMBUNGAN antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United FC bukan hanya untuk mengukuhkan peluang ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), malah juga medan terbaik untuk melihat kelab manakah wajar dilabel King of Asean’ sebenar.
Kedua-dua pasukan itu mempunyai reputasi terbaik dalam liga masing-masing dengan Harimau Selatan merupakan pemenang Liga 10 kali berturut-turut dan skuad Thunder Castle juga merekodkan jumlah trofi yang sama untuk saingan Thai League.
Melihat carta kedudukan Kumpulan Zon Timur ACLE juga menunjukkan JDT dan Buriram sama-sama mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, dua kekalahan serta satu keputusan seri selepas lima mengharungi lima perlawanan.
BACA LAGI: Sebelum Jese Rodriguez ke JDT, ada 3 perpindahan 'blockbuster' langsung tak bawa untung
Melihat pada rekod berkenaan, pasti perlawanan sukar menanti wakil kelab Malaysia namun Hector Bidoglio selaku pengendali Harimau Selatan menuntut anak buahnya bangkit mengutip tiga mata selepas episod duka tewas tipis 0-1 kepada Shandong Taishan pada 26 November lalu.
Bukan hanya diharap untuk menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, penyokong juga meminta agar Harimau Selatan mengawasi tiga bintang import berbahaya Buriram United bagi mengelak keciciran mata berlaku.
Mengambil kira aksi domestik dan persembahan ACLE terdapat tiga anak buah Osmar Loss wajar diawasi oleh JDT pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
1) Guilherme Bissoli
Bissoli memainkan peranan penting untuk bahagian serangan Buriram. — Facebook/BuriramUnited
Penyerang import Buriram United, Guilherme Bissoli yang baru tiba ke Thailand pada awal Januari ini tidak memerlukan masa lama untuk membuat penyokong skuad Thunder Castle jatuh hati kepada cara permainannya di atas padang.
Pemain berusia 26 tahun berkenaan menunjukkan harganya yang mahal setanding dengan kemahirannya apabila telah menjaringkan 30 gol dan lapan hantaran bantuan dalam 39 penampilannya di setiap kejohanan disertai kelab Thailand itu.
Kecemerlangannya sebagai peledak Buriram jauh meninggalkan dua penyerang import JDT iaitu Jorge Obregon dan Jese Rodriguez, yang baru meledak lima jaringan bagi saingan ACLE serta Liga Super.
Walaupun baharu beraksi di Asia Tenggara, impak yang dibawa oleh pemain bernilai RM8.4 juta itu sangat besar sehingga berjaya membantu Buriram United menjuarai liga musim lepas.
2) Dion Cools
Cools beraksi sebagai bek kanan bersama Thunder Castle. — Facebook/BuriramUnited
Ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools boleh menjadi ‘duri dalam daging’ buat Harimau Selatan lagi-lagi selepas pertahanan berkenaan mengenali gaya permainan beberapa pemain JDT dek beraksi bersama-sama di skuad kebangsaan.
Cools merupakan tunjang pertahanan Buriram apabila terbabit dalam kelima-lima perlawanan kempen itu musim ini termasuk menyumbangkan satu gol ketika meraih kemenangan ke atas Central Coast, Oktober lalu.
Pemain berusia 28 tahun berkenaan juga sudah melaungkan keyakinan bahawa dengan kekuatan yang ada di dalam skuad Buriram mampu menyaingi pemain-pemain Harimau Selatan.
Cools yang beraksi di posisi bek kanan bersama skuad Thunder Castle itu pasti sudah ada cara untuk merantai penyerang kiri Harimau Selatan iaitu Heberty daripada bergerak bebas untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol.
3) Lucas Crispim
Salah seorang tonggak import berbahaya Buriram ialah Lucas Crispim apabila pemain itu baru sahaja menjaringkan hatrik untuk kelabnya dalam kemenangan 7-0 menentang Kaya FC-Iloilo dari Filipina bagi aksi Asean Shopee Cup pada September lepas.
Walaupun baharu beraksi di Asia Tenggara, pemain tengah menyerang itu cepat menyesuaikan diri dengan suasana Liga Thailand apabila sering dipilih sebagai kesebelasan utama Buriram dalam setiap perlawanan disertai skuad Thunder Castle.
Pemain itu juga pernah beraksi bersama beberapa kelab gergasi Brazil, misalnya Santos, iaitu pasukan yang melahirkan bintang ternama seperti Neymar Jr.
Tonggak yang mampu beraksi di posisi penyerang kanan dan kiri itu sudah meledak lapan gol dan tiga hantaran bantuan untuk 19 perlawanan Buriram United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram