[VIDEO] Penyokong JDT dituduh mula kufur nikmat? Rindu 2 aksi ex import Argentina


  • Podium
  • Rabu, 04 Dis 2024

Tangkap layar video insiden Theerathon (Buriram) 'memicit' alat sulit Arif Aiman (JDT) sebelum dilayangkan kad merah.

PENYOKONG Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak tidak berpuas hati dengan aksi pemain-pemain Harimau Selatan selepas terikat 0-0 dengan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) pada Selasa (3 Disember).

JDT yang dikejutkan dengan layangan kad merah tergamam apabila pengadil dari Arab Saudi, Khalid Salleh Alturais menganugerahkan sepakan penalti kepada Buriram United pada minit ke-13.

Ia selepas Murilo Henrique dilihat menolak Dion Cools dalam kotak penalti sebelum diminta melihat semula insiden tersebut di monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).

BACA LAGI: Perlu segera transformasi skuad, Gergasi Merah wajar pertimbang bawa balik 2 anak jati, ‘new’ Arif Aiman

BACA LAGI: Penyokong Perak FC sambut baik kepulangan Lee Tae-min ke Korea Selatan

Selepas meneliti di monitor VAR, Khalid menganugerahkan sepakan percuma kepada Buriram United dan turut menukar layangan kad kuning kepada merah terhadap Murilo.

Situasi bertambah panas apabila Theerathon Bunmathan (Buriram) pada awalnya dilayangkan kad kuning kerana bertelagah dengan pengadil.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Khalid diminta melihat insiden Theerathon 'memicit' alat sulit Arif Aiman Hanapi (JDT) di monitor VAR.

Selepas melihat insiden berkenaan, pengadil Arab Saudi itu terus melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan berpengalaman skuad kebangsaan Thailand itu.

Sebelum tamat perlawanan, pemain JDT, Park Jun-heong menjadi import kedua dilayangkan kad merah selepas bek tengah berusia 31 tahun itu melakukan terjahan berbahaya ke atas Guilherme Bissoli (Buriram) pada minit akhir permainan.

Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan sembilan dan 10 pemain.

Keputusan 0-0 menyaksikan JDT dan Buriram United kini menghuni tangga keenam dan kelapan Kumpulan B ACLE.

Selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri, rata-rata penyokong JDT mula mengkritik beberapa bintang import seperti Juan Muniz dan Iker Undabarrena meskipun sebelum ini mereka beraksi dengan baik di media sosial rasmi Harimau Selatan.

"Undabarrena itu dah boleh buang rasanya, dah lama perhati tak ada yang istimewa pun, pemain itu sama taraf dengan tempatan sahaja. Dia (Undabarrena) dan Obregon pembelian yang merugikan," kata Asyraf Wahab.

"Undabarrena itu rasanya pemain tempatan lagi bagus dari dia," luah Wan Nizam.

"Saya sangsi sebenarnya dengan kesebelasan utama JDT di bawah Hector Bidalgio, nampak Muniz dan Undabarrena sedikit merosot permainannya tapi masih bermain untuk separuh masa kedua," ujar Muslaidi Adie.

"Masalah JDT ketika ini Juan Muniz tak beraksi dengan baik dalam empat ke lima perlawanan. Dia tak beri yang terbaik, harap diperbaiki atau cari seorang lagi pemain tengah," jelas Azahar Salih.

Dalam pada itu, ada juga penyokong merindui akan kelibat dua bekas pemain import iaitu Fernando Forestieri dan Leandro Velazques yang dilepaskan daripada JDT musim ini.

"Sayang JDT lepaskan Leandro dengan Foresteri, kalau tak mesti dua orang itu tambah Bergson bawa bola sambil menari dalam kotak penalti," kata Bani Tenang.

"Teringat dekat Forestieri dan 'budak nakal' Leandro Velazquez," luah Nur Izara Azhar.

Untuk rekod kedua-dua pemain ini antara bintang import paling berbisa pernah dimiliki oleh JDT selepas mereka membantu Harimau Selatan meraih pelbagai gelaran.

Jaringan Leandro dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015 juga berjaya mencipta sejarah apabila JDT satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara menjuarai kejohanan itu.

Kini menjadi persoalan adakah penyokong JDT kian sudah lupa akan kejayaan yang dicipta oleh Harimau Selatan selama sedekad selepas seri dengan Buriram United?

JDT masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati ACLE dengan memenangi perlawanan menentang kelab Australia, Central Coast Mariners dan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers pada Februari 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram