[VIDEO] Tiada lagi 'Teluk Khemah Biru', ramai puas hati pemandangan terkini Pantai Teluk Kemang


  • Massa
  • Isnin, 25 Nov 2024

Pengunjung berpuas hati dengan tindakan MPPD yang mendengar keluhan pengunjung mengenai lambakan khemah biru di Pantai Teluk Kemang sebelum ini.

TINDAKAN segelintir pihak yang menawarkan khidmat sewaan khemah di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan menimbulkan rasa kurang senang terhadap pengunjung, terutamanya dari dalam negara.

Mereka yang menyediakan perkhidmatan itu pada awalnya dipuji kerana membolehkan orang ramai meluangkan masa lebih lama tanpa perlu memikirkan terikan mentari.

Namun, setelah bertahun-tahun lamanya, kegiatan tersebut mengundang kritikan kerana khemah biru yang didirikan hanya menjejaskan pemandangan di pantai berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Teluk Kemang jadi Teluk 'Khemah Biru', ramai gesa PBT ubah strategi elak cacatkan pemandangan

BACA LAGI: [VIDEO] Gas meletup dipercayai punca deretan kedai di Teluk Kemang rentung dijilat api

462472197_839855738230747_8499465159335262250_n

MPPD bertindak menyita khemah biru yang sedia disewakan kepada pengunjung di lokasi tersebut. Facebook/MPPD

Perkara itu sering dibincangkan dalam media sosial dengan kepingan foto yang pernah dikongsikan menceritakan bahawa penyediannya hanya membawa kesan buruk terhadap jumlah kehadiran pengunjung, termasuk ketika tempoh percutian.

Bagaimanapun, baru-baru ini, khidmat penyewaan khemah itu tidak lagi disediakan selepas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan aktiviti perniagaan itu dihentikan serta-merta.

Tindakan berkenaan menerima respons baik daripada orang ramai yang kembali menikmati pemandangan di Pantai Teluk Kemang dengan ada mengharapkan pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi menarik pelancong luar negara.

"Wah, terbaik PD (Port Dickson), harapnya bahagian pelancongan Negeri Sembilan perluaskan lagi aktiviti menarik untuk menggalakkan kehadiran pengunjung untuk datang ke sini.

"Pergiatkan idea seperti membangunkan taman dan lokasio bersantai bersama haiwan yang juga menyediakan kafe. Boleh juga percantikkan lokasi ini untuk ramai boleh mengambil swafoto sebagai kenangan," kata Aseyra Qaisara.

"Cadangan saya, tanam lebih banyak pokok kelapa di persisiran pantai, tentu akan kelihatan lebih cantik seperti Pantai Boracay di Filipina yang pernah menerima gelaran pantai paling cantik di dunia," kata Salima Wahab.

"Baru nampak luas pemandangan yang cantik rupanya. Kalau tidak, sakit mata dan hati kerana peniaga pernah tegur kerana memasang khemah sendiri di siti lebih 20 tahun lalu," kata AMr No.

Tindakan pihak berkuasa tempatan seperti MPPD sepatutnya diperluaskan ke pelbagai lokasi pelancongan di kawasan sedemikian yang berpotensi menarik pelancong luar negara.

Meskipun perkhidmatan sewaan khemah itu membawa kelebihan tersendiri, jumlahnya yang terlalu banyak boleh menjejaskan pemandangan sehingga menjejaskan kehadiran pengunjung dari semasa ke semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram