SIAPA sangka bekas askar mampu menghasilkan karya lukisan kartun berbentuk buku yang membuka mata masyarakat mengenai realiti di sebalik dunia ketenteraan.
Bekas pegawai di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Affendi Yahya mencipta sejarah sebagai individu pertama yang berjaya menghasilkan kartun tentera dalam bentuk buku di Malaysia.
Affendi berkata, tujuan beliau menghasilkan karya itu adalah untuk menjelaskan secara terperinci tentang kehidupan bergelar tentera yang tidak diketahui umum meliputi sudut pahit, manis dan lucu.
"Sebenarnya tentera ini skopnya besar. Ada askar Melayu, kita ada Rejimen Artileri DiRaja (Royal Artillery Regiment), jurutera dan pelbagai lagi.
"Buku kartun saya tulis memang dibuat berdasarkan kisah nyata. Ambil dari pengalaman sendiri dan pengalaman kawan-kawan yang bergelar tentera," katanya kepada Majoriti.
Dua buku kartun tentera yang sudah dikeluarkan oleh Affendi.
Kini, beliau sudah menerbitkan dua karya iaitu yang pertama bertajuk Memories of a Cadet Officer - Volume 1 dan buku kedua bertajuk The Gunturions.
Lelaki berusia 64 tahun itu berkata, karya pertamanya itu mulai dihasilkan selepas pulang dari Melbourne, Australia.
"Saya tinggal di Melbourne selama kira-kira lapan tahun. Sewaktu di sana saya sudah mula melukis sedikit demi sedikit. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyambung lukisan kartun itu sehingga siap.
"Buku pertama adalah cerita mengenai saya dilatih untuk menjadi seorang pegawai ketenteraan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Saya ambil masa selama dua tahun untuk siapkan buku itu.
"Saya lancarkan buku itu sewaktu Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) Langkawi 2019. Pada 2021, sudah habis terjual 1,000 naskhah buku malah, ada sekitar 100 orang juga yang minta untuk buat cetakan semula (reprint)," katanya.
The Gunturions - Volume 2 yang dihasilkam oleh Affendi.
Selepas habis terjual, anak jati Teluk Intan, Perak itu memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghasilkan pula buku baharu The Gunturions - Volume 2.
Mencari ilham di sebalik alam semula jadi, Affendi menghabiskan masanya dengan mengunjungi tempat-tempat yang mendamaikan bagi menghasilkan karya lukisan bagi buku keduanya.
"Idea perlu datang secara fresh. Saya kalau menulis kena tempat yang tenang.. Saya pergi ke tepi pantai, tepi air terjun, kawasan yang ada pokok-pokok sambil melukis kartun," katanya.
Affendi berkata, segala kenangan indah yang pernah dilalui disimpan untuk ditonjolkan kepada orang di luar sana tentang kehidupan sebagai tentera.
"Buku kedua menceritakan tentang kehidupan selepas menjadi pegawai, saya dihantar ke Kem Paradise, Kota Belut, Sabah.
"Cerita bermula dari 1981 hingga 1984 di mana ada tujuh pengambilan yang merangkumi 1,800 pegawai muda," katanya.
Affendi menceritakan tentang buku keduanya kepada pegawai tentera yang lain.
Lelaki yang berpangkat Kapten Ejutan Batalion itu berkata, antara individu yang menjadikannya terinspirasi untuk menulis buku tentera adalah bapanya sendiri.
"Ayah saya suka baca ensiklopedia yang mengandungi banyak volume. Ada satu buku bapa saya beli mengenai Perang Dunia Kedua.
"Dari Eropah, Jepun sampai ke Afrika semua dia beli. Saya pun baca sekali.
"Jadinya tiba-tiba terdetiklah untuk menghasilkan kartun mengenai tentera dalam bentuk buku sedemikian," katanya.
Mengimbau kenangan lama, Affendi berkata, ibunya juga menjadi inspirasi buat dirinya untuk bergelar tentera.
"Masa muda saya malas. Sekitar umur 20 tahun, tidur pukul 2 petang, bangun pun pukul 2 pagi. Duduk di Kuala Lumpur.
"Sampaikan suatu hari ibu saya kata Affendi nak pergi mana tu? Bila kau ni nak jadi orang berguna? Sejak itulah saya mulai memasuki tentera," katanya.
Affendi berkata, dia kini dalam persiapan untuk menghasilkan buku ketiganya yang dijangka bakal dikeluarkan selepas Mei tahun hadapan.
"Buku sebelum ini kedua-duanya menceritakan tentang tentera darat. Dalam buku ketiga pula akan menceritakan tentang kisah dari sudut tiga sisi iaitu tentera darat, tentera laut dan tentera udara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram