[VIDEO] Gas meletup dipercayai punca deretan kedai di Teluk Kemang rentung dijilat api


  • Tular
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Tangkap layar deretan premis makan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan rentung dijilat api.

BEBERAPA premis gerai makan difahamkan rentung dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Pengunjung dan orang ramai di situ rata-ratanya turut cemas dan menyelamatkan diri masing-masing di samping cuba untuk memadamkan api marak.

Insiden itu dipercayai berpunca akibat letupan gas memasak di salah sebuah dapur premis berkenaan yang sekali gus mengakibatkan deretan kedai di situ turut terbakar sama.

Dikongsikan di laman media, saksi kejadian sempat merakamkan detik cemas tersebut.

Ketika ini, pasukan bomba difahamkan sedang berusaha memadamkan api di kawasan berkenaan namun masih belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian tersebut.

Komander operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.16 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang diarahkan ke lokasi.

"Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu water tanker dan navara dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.

"Selain itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Port Dickson turut dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan EMRS dan BBP Seremban dengan kekuatan satu water tanker," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, empat lot gerai terbakar 100 peratus manakala lima lagi lot gerai dianggarkan terbakar 25 peratus.

"Sehingga pukul 10.51 malam tadi, kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan oleh anggota bomba dan tiada mangsa terbabit dalam kebakaran ini.

"Ketika ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram