Cemerlang bersama Harimau Malaya, fans mahu KDN FC 'jago molek' Ghaddar Kelate


  • Podium
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Pau Marti memberi peluang kepada Fazrul beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Harimau Malaya.

PEMAIN sayap kebangsaan, Fazrul Amir Md. Zaman mahu memanfaatkan pengalaman pasukan itu untuk membantu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) meraih kemenangan dalam Piala Malaysia.

Fazrul terpilih menyertai skuad Harimau Malaya untuk aksi menentang Laos dan India masuk menggantikan Mukhairi Ajmal Mahadi yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memberi peluang kepada Fazrul beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Presiden PSSI beri bayangan rekrut bekas 'keeper' Inter Milan perkuat Sang Garuda

BACA LAGI: Lokal atau import, pengganti Ong Kim Swee kena beri lebih baik — Reduan Abdullah

Meskipun beraksi dalam tempoh yang singkat, aksinya menjadi bualan penyokong terutamanya dari negeri Kelantan.

Atas sebab itu, Fazrul yang mesra disapa Ghaddar itu berharap dapat membantu Sang Kijang Emas menewaskan Perak FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia.

"Satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan setelah diberikan peluang bersama pasukan kebangsaan. Saya yakin pengalaman ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin pada pertemuan dengan Perak.

"Yang penting, momentum saya diteruskan sekali gus dapat membantu KDN FC mencari bekalan selesa sebelum perlawanan kedua nanti,” katanya dalam media sosial rasmi KDN FC.

Melihat kepada prestasi cemerlang Fazrul, rata-rata penyokong menyeru agar pihak pengurusan menjaga pemain itu dengan sebaiknya demi masa depan bola sepak Kelantan.

"Jaga baik-baik budak ini, buat naik gaji tak apa, kita perlu pemain tempatan taraf macam ini kalau KDN nak kekal dalam Liga Super," kata Daeng Wxndy.

"Fazrul boleh pergi jauh kalau pandai bawa, kalau cara Kelantan sekarang ini memang tak harap apa, main tak ada perubahan," jelas Sha Kondesa.

"Pegang kemas Fazrul ini, ramai kelab nak dia ini," ujar Amin Wadihan.

KDN FC bakal berdepan Perak FC di Stadium MBPJ untuk aksi pertama pusingan 16 terbaik pada 22 November. Ini disusuli aksi kedua pusingan tersebut di Manjung pada 30 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram