JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mudah menewaskan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Perlawanan berkenaan menyaksikan tiga gol Harimau Selatan dicetak oleh pemain import, Heberty Fernandes dengan dua daripadanya dilakukan pada separuh babak permainan dan selebihnya pada separuh masa kedua.
Apa yang menarik pada perlawanan pusingan pertama itu, Hector Bidoglio dilihat berani memberi peluang kepada barisan pemain muda dari skuad simpanan JDT untuk menikmati kejohanan berprestij itu.
BACA LAGI: Persembahan 'next' Arif Aiman pukau fans JDT, siap ada yang ramal 'kalau polish, confirm meletop'
BACA LAGI: Jangan sesekali lupa Selangor, JDT, Kelantan pernah alami mimpi ngeri rebut Piala Malaysia
Muhamad Alif Abu Mutalib, Ahmad Asyar Hadi Mohd Shapri, Daryl Sham KK George dan penjaga gol campuran Sepanyol-Malaysia iaitu Christian Abad Amat menjadi pemain muda yang diletakkan sebagai kesebelasan utama JDT.
Selain keterujaan penyokong menyaksikan pemain muda skuad simpanan mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama, 'pemain ke-12' Harimau Selatan juga lega apabila dua import baharu diturunkan dalam perlawanan menentang pasukan Liga M3 itu.
Meskipun Jorge Obregon dan Jese sebelumnya sudah mendapat peluang beraksi bersama JDT di peringkat Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) namun penyokong rata-ratanya masih belum menyaksikan kelibat mereka.
Bagaimanapun, jangkaan yang diletak tinggi kepada dua pemain di bahagian serangan itu meleset apabila masing-masing dilihat tidak memberikan aksi cemerlang ketika dimasukkan pada babak kedua.
"Dua-dua pemain ini belum nampak impak untuk skuad JDT. Lawan KL Rovers pun terkial-kial, satu pembelian yang gagal. Jauh lebih baik Fernando Forestieri," kata penyokong JDT, Voice yang merindui kelibat bekas import kelahiran Argentina itu.
"Obregon ada juga nampak sedikit sumbangan. Tapi Jese ini memang betul-betul pembelian yang rugi. Setiap perlawanan, ada sahaja kesalahan yang dia buat. Nak hantar bola pun tak sampai," ujar penyokong Harimau Selatan, Jordan Nabalu.
"Forestieri jauh lebih baik. Tapi tidak apa kita tunggu perkembangan mereka, mungkin masih menyesuaikan diri," pendapat penyokong JDT, Danial Hakimi Firdaus.
Berdasarkan pendapat dilontarkan penyokong Harimau Selatan, sesetengah daripada mereka masih merindui sentuhan Forestieri yang cemerlang membantu serangan JDT walaupun bekas import itu bergelut dengan isu kecederaan pada tahun keduanya di Liga Malaysia.
Forestieri yang menyertai Harimau Selatan pada 2022, pemain berusia 34 tahun itu mencipta keserasian bersama Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi. Rekodnya sendiri menyaksikan dia mencetak 50 gol dalam semua kejohanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram