Jangan sesekali lupa Selangor, JDT, Kelantan pernah alami mimpi ngeri rebut Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 21 Nov 2024

Johor Darul Ta'zim muncul juara Piala Malaysia bgai musim 2023. — Instagram/officialjohor

PIALA Malaysia merupakan satu kejohanan yang tidak asing lagi kerana ia sudah dipertandingkan lebih dari 100 tahun dalam arena bola sepak tanah air.

Selangor tampil sebagai kuasa besar Piala Malaysia sebagai pemenang terbanyak dengan jumlah 33 kali manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) pula menjadi kuasa baharu yang sudah memenangi piala tersebut sebanyak empat kali sejak bergelar kelab elit tanah air.

Namun, di sebalik cabaran kelab berkualiti, ada juga skuad yang dijangka tidak mampu memberi saingan melihat kepada kualiti dan jurang berbanding pasukan pilihan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bek Selangor dibuang padang aksi kelayakan Piala Dunia, mujur 'keeper' jadi hero

BACA LAGI: Semangat lawan pudar sebelum sepak mula, fans JDT ramal ada pesta gol di SSI

Bagaimanapun, ini bukanlah alasan bagi mereka untuk tidak memberi 100 peratus di atas padang meskipun tahu terdapat cabaran besar menanti sama ada ketika beraksi di tempat sendiri atau di laman lawan.

Malah, ada juga yang berjaya mencipta kejutan dengan status underdog membuatkan mereka hadir ke sesuatu perlawanan tanpa tekanan berlebihan daripada pihak pengurusan mahupun penyokong.

Melihat kepada beberapa tahun kebelakangan ini, berikut merupakan tiga pasukan yang mencipta kejutan ke atas lawan mereka yang lebih berkualiti dan ada daripadanya dilabel pilihan.

1. Selangor vs Felda United (2014)

Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC terpaksa akur akan kekuatan yang dimiliki oleh Felda United selepas tewas 3-7 secara agregat dalam saingan Piala Malaysia bagi musim 2014.

Felda United mengejutkan penyokong tanah air apabila berjaya menumbangkan pasukan gergasi tanah air itu untuk menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.

Skuad The Fighters itu meraih kemenangan selesa 4-0 ketika bertemu skuad Gergasi Merah pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selangor.

Selangorfc

Selangor FC tewas kepada pasukan 'underdog', Felda United.

Meskipun skuad Gergasi Merah berjaya mengikat 3-3 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang namun kemenangan berpihak kepada Felda United apabila meraih kemenangan secara agregat.

Kemenangan itu pastinya sudah cukup untuk Felda United membuka mata penyokong tanah air bahawa pasukan 'underdog' mampu memberi saingan kepada pasukan pilihan ketika itu.

Bagaimanapun, pada musim berikutnya, skuad Gergasi Merah tampil lebih bersedia apabila menjuarai pertadingan itu untuk memenanginya buat kali ke-33 dalam sejarah kelab.

2. JDT vs Felda United (2015)

Ingatkah anda bahawa juara bertahan, JDT pernah mengalami mimpi ngeri apabila tersungkur dalam saingan Piala Malaysia musim 2015?

Meskipun bergelar sebagai pasukan gergasi tanah air ketika ini, skuad Harimau Selatan itu rupanya pernah berdepan episod duka apabila tewas kepada pasukan 'underdog'.

Pasukan yang berjaya mencalarkan maruah skuad Harimau Selatan ketika itu adalah Felda United, yang pada musim sebelumnya mencipta kejutan ke atas Selangor.

JDT vs Felda

Skuad Harimau Selatan itu pernah berdepan episod duka apabila tewas kepada pasukan 'underdog', Felda United.

Felda United meranapkan impian JDT untuk mara ke separuh akhir selepas meraih kemenangan 3-1 secara agregat.

JDT tersingkir selepas tewas mengejut 1-2 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang turut meleburkan rekod tanpa kalah JDT di laman sendiri sejak 2013.

Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Untuk rekod, JDT kini pastinya mahu memburu trofi Piala Malaysia kelima dalam sejarah selepas menang pada edisi 2017, 2019, 2022 dan 2023.

3. Kelantan vs PDRM (2016)

Kelantan yang pernah mencipta nama di pentas bola sepak Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami situasi yang sama.

Meskipun pernah bergelar juara sebanyak dua kali pada musim 2010 dan 2012, namun PDRM pernah menyingkirkan Kelantan daripada memburu Piala Malaysia.

Kelantan vs PDRM

PDRM pernah menyingkirkan Kelantan daripada memburu Piala Malaysia.

Kemenangan 2-1 secara agregat itu sudah cukup untuk skuad Sang Saka Biru mencatat sejarah mara ke separuh akhir dan menutup hajat Kelantan untuk menggenggam piala berprestij terbabit.

Meskipun Kelantan meraih kemenangan 1-0 pada aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat, Melaka, kelebihan berpihak kepada PDRM yang meraih kemenangan pada perlawanan suku akhir pertama di Kota Bharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram