Gol tunggal pemain pinjaman JDT bantu Kuching City ‘takluk’ Stadium Bandaraya, gagal padam kemarahan fans Penang terhadap bintang Pantai Timur


  • Podium
  • Khamis, 21 Nov 2024

Ramadhan (kanan) meledak gol tunggal buat The Cats dalam aksi Piala Malaysia menentang Penang FC pada Khamis. — Facebook/KuchingCity

PENANG FC tidak berhasil memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kuching City FC pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di Stadium Bandaraya dekat George Town, Pulau Pinang pada Khamis.

Perlawanan pertama pusingan 16 yang menjadi aksi debut Wan Rohaimi Wan Ismail sebagai ketua jurulatih Harimau Kumbang itu bermula dengan langkah kiri selepas gagal merekodkan kemenangan mahupun keputusan seri.

Apa yang disajikan oleh pasukan tuan rumah adalah aksi bertahan dengan selitan serangan balas. Namun, sentuhan penyudah dari bahagian serangan yang diketuai Dylan Wenzel-Halls masih kurang menjadi.

BACA LAGI: Masters China: Jun Hao tersingkir, Pearly-Thinaah tewaskan beregu tuan rumah

BACA LAGI: Kempen cemerlang Kumamoto Masters berakhir, Jun Hao kalah di final kepada bintang China

Selepas permainan menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak mengusai 54 peratus permainan, pasukan Borneo tanah air itu kelihatan lebih agresif dalam melakukan serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-33, kualiti hantaran daripada Danial Amier kepada Tchetche Kipre hampir memberi gol pendahuluan buat pasukan pelawat namun sepakan pemain import berkenaan terkena palang gol.

Kelekaan pasukan pertahanan Harimau Kumbang dimanfaatkan Kuching City dengan melakukan satu serangan balas, yang disudahkan oleh rembatan kaki kanan penyerang sayap pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Saifullah pada minit ke-44.

Keputusan babak pertama itu membuatkan penyokong pasukan tuan rumah melemparkan kritikan kepada beberapa pemain mereka dan antaranya yang mengundang kemarahan ialah pemain tengah kelahiran Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Nik Akif kenapa main buruk malam ini," kata penyokong Harimau Kumbang, Amar Alex.

"Hantar pengendali terbaik pun tidak guna kalau pemain main teruk," teguran dari penyokong Penang FC, Z.

Memasuki separuh masa kedua, pertukaran Nabil Latpi memberi impak kepada bahagian serangan Harimau Kumbang apabila pemain sayap berkenaan sentiasa melakukan percubaan ke gawang Kuching City.

Bagaimanapun, kecemerlangan pertahanan Kuching City yang diketuai ketua pasukan mereka iaitu James Okwuosa berhasil menyekat Penang daripada mencari sebarang gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Berbekalkan satu gol, Kuching City selepas ini akan melayan kunjungan Harimau Kumbang pula di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 30 November depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram