Sebelum Indonesia, Harimau Malaya juga pernah bolos '4 biji' dengan Jepun


  • Podium
  • Isnin, 18 Nov 2024

Skuad Garuda tidak dapat mengatasi kualiti Jepun yang layak digelar gergasi bola sepak Asia. — Agensi

WAKIL tunggal Asia Tenggara dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Indonesia jelas bergelut apabila hanya meraih tiga mata daripada lima perlawanan dihadapi.

Malah, pada Jumaat lalu, skuad Garuda turut mengalami kekecewaan ketika mereka berdepan Jepun di tempat sendiri dengan keputusan 0-4 yang pasti terus memberi tekanan kepada pasukan.

Ini kerana keputusan itu meletakkan pasukan bimbingan Shin Tae-yong berada di kedudukan tercorot Kumpulan C dengan peluang malap bagi mereka mara ke pusingan seterusnya meskipun masih terdapat lima aksi berbaki.

BACA LAGI: Bojan Hodak sayangkan Indonesia? 4 jurulatih negara Balkan calon sesuai buat Terengganu FC, Selangor FC

BACA LAGI: Menang lawan Laos ketika masih ada 3 bintang JDT, Malaysia pintas Indonesia dalam ranking FIFA

Tidak cukup dengan itu, kekalahan kepada skuad Samurai Biru tersebut menjadikan Indonesia bahan usikan daripada peminat bola sepak sekitar Asia Tenggara, terutamanya daripada penyokong Harimau Malaya.

Mereka beranggapan pasukan itu tidak mencapai standard untuk bergelar gergasi bola sepak Asia meskipun sudah melaksanakan program naturalisasi buat bertahun-tahun lamanya.

Selain itu, usikan tersebut dibuat kerana berdasarkan ranking FIFA, Indonesia yang menduduki tangga ke-129 kini berada satu tangga di bawah Harimau Malaya berikutan kemenangan skuad kebangsaan ke atas Laos.

Jadi, tidak hairanlah pertelingkahan di media sosial antara penyokong kedua-dua negara itu berterusan dengan hal tersebut bukanlah sesuatu yang baharu melihat kepada perkembangan tahun-tahun kebelakangan ini.

Namun, tahukah anda, Harimau Malaya juga pernah mengalami keputusan sedemikian ketika mereka berdepan Jepun di negara Asia Timur itu kira-kira 20 tahun lalu dalam satu aksi persahabatan.

121717425_10158929592122074_2711140954185222421_n

Antara aksi yang sempat dirakam ketika Harimau Malaya bertandang ke Jepun.

Ketika itu, pihak lawan hanya meletakkan skuad ketiga mereka yang turut dibarisi pemain naturalisasi mereka, Alex Santos serta dikendalikan legenda bola sepak Brazil, Zico.

Bagaimanapun, jurang kualiti jelas kelihatan apabila skuad kebangsaan yang menampilkan nama-nama besar seperti Eddy Helmi Manan, K Nanthakumar dan Hairuddin Omar gagal memberi tentangan.

Ia jelas dibuktikan apabila Jepun mudah menjaringkan empat gol menerusi Mitsuo Ogasawara, Tsuneyasu Miyamoto, Nobuhisa Yamada dan Yasuhito Endo dengan masing-masing bijak menewaskan penjaga gol Harimau Malaya.

Perlawanan persahabatan menentang Jepun tidak lagi diulangi sehingga hari ini, namun skuad kebangsaan berpeluang berdepan sebuah lagi gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan di Piala Asia 2023.

Keputusan seri yang dicatatkan dalam pertembungan peringkat kumpulan itu sedikit sebanyak menunjukkan kebangkitan pasukan negara meskipun tidak boleh dinafikan masih terdapat pelbagai perubahan perlu diterapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram