KEDUA-DUA pasukan yang berpangkalan di Borneo tanah air beraksi dengan baik musim ini apabila Sabah FC kini menduduki tangga ketiga sementara Kuching City FC berada di kedudukan kelima.
Jadi, tidak hairanlah apabila pertembungan antara mereka buat kali kedua dijangka menerima tumpuan hangat, seperti mana dapat disaksikan ketika perlawanan pertama awal musim lalu.
Pertembungan 'Derby Borneo' yang dijangka berlangsung pada penghujung November semestinya diharapkan mampu menjadi medan buat skuad The Cats selepas mereka mengalami kekalahan kepada seteru setempat mereka itu.
BACA LAGI: Terus berikan kejutan, Kuching City sedia ketuk pintu 'Top 4' Liga Super
BACA LAGI: The Cats sempat ‘leading’, aksi Sri Pahang-Kuching City ditangguh kerana hujan lebat
Skuad Sang Badak berada dalam prestasi cemerlang musim ini. — Facebook/Sabah FC
Namun, Sabah FC juga pasti tidak mahu mengibar bendera putih terlalu awal meskipun tahu akan kemampuan sebenar anak-anak buah Aidil Sharin Sahak setakat ini.
Walaupun kelebihan dari segi kedudukan berpihak kepada skuad Sang Badak, kualiti pemain secara individu memberi keyakinan buat Kuching City FC yang juga mahu meraih tiga mata penuh.
Salah seorang pemain yang sudah tentu dapat memberi kelebihan buat skuad The Cats ialah penyerang sayap, Ramadhan Saifullah selepas pemain itu hadir secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertengahan musim.
Hal itu turut diakui rata-rata penyokong Sabah FC yang beranggapan pemain serba boleh berkenaan mampu memberi ancaman kepada benteng pertahanan mereka dengan kepantasan dimilikinya.
Ramadhan memiliki kualiti untuk menembusi benteng pertahanan lawan. — Facebook/Kuching City FC
"Pemain Kuching City FC, Ramadhan Saifullah seorang pemain yang lincah di bahagian serangan. Pemain-pemain pertahanan Sabah FC perlu berwaspada dengan kemampuan Ramadhan Saifullah," tulis Rhino Pride.
"Walaupun masih belum gol, tahu dia ni boleh bawa ancaman kepada benteng pertahanan. Harapnya Sabah boleh awasi pergerakannya yang boleh bawa masalah nanti," tulis Rahim Leman.
"Kalau Sabah FC tak beri perhatian kepada dia ini, risau gawang mudah dibolosi. Kita tahu pertahanan Sabah baik, cuma risau ada kesilapan boleh berlaku," kata Malik Osman.
Berdasarkan percaturan ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), aksi Derby Borneo tersebut akan diadakan di Stadium Negeri Sarawak selepas aksi pusingan pertama Piala Malaysia.
Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan tersebut di venue berkenaan menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee meraih kemenangan 3-0 dalam saingan peringkat 16 pasukan Piala Malaysia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram