Bola sepak Sabah kembali 'bernafas', kontrak Kim Swee akhirnya disambung


  • Podium
  • Rabu, 06 Nov 2024

Skuad Sang Badak tersenyum lebar selepas Kim Swee terus menerajui pasukan Negeri di Bawah Bayu itu. — Facebook/Sabahfc

KEM Sabah FC boleh menarik nafas lega apabila kontrak pengendali Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee dilanjutkan lima bulan lagi hingga penghujung musim 2024/2025 iaitu pada 30 April depan.

Lanjutan kontrak Kim Swee yang berakhir pada 30 November itu dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pengurusan Sabah FC.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya menerusi satu kenyataan.

BACA LAGI: Kontrak DOKS tidak disambung, bola sepak Sabah akan terkubur?

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: KL Thunder pasukan paling solid, tiada kelemahan — Pengurus Johor Tigris

WhatsApp Image 2024-11-06 at 10.34.56

Kim Swee kekal mengendalikan Sabah FC sehinggan 30 April depan. — Facebook/Sabahfc

"Mesyuarat Khas bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) serta Sabah FC sebulat suara bersetuju melanjutkan kontrak Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sehingga penghujung musim 2024/2025 berakhir pada 30 April tahun depan," katanya.

Menurutnya, keputusan itu diambil berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan Sabah FC ketika ini di bawah bimbingan Kim Swee.

“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee akan dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekali gus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini," jelasnya.

Katanya lagi, khabar gembira tersebut membolehkan pengendali The Rhinos itu meneruskan momentum kemenangan dan meningkatkan prestasi terbaik pasukan seterusnya memperbaiki kedudukan di carta liga dan menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula hujung bulan ini.

“Ini akan membantu moraliti pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan liga super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, pihak pengurusan juga berharap agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada pemain.

Selepas menyertai skuad Sang Badak menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto sejak 2021, Kim Swee berjaya melonjakkan Sabah ke senarai tiga pasukan terbaik carta liga, selain memasuki kejohanan AFC 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram