
JARINGAN bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-27 sudah cukup untuk memastikan Terengganu FC pulang dengan tiga mata penuh buat kali pertama dalam tujuh perlawanan Liga Super.
Namun, penyokong seperti masih kurang berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah Badrul Afzan Razali yang memperlahankan tempo selepas jaringan itu terhasil.
Kesalahan sememangnya diletakkan di bahu pengendali berkenaan yang hanya mengisi kekosongan buat sementara waktu susulan keputusan Terengganu FC merehatkan Tomislav Steinbruckner.
BACA LAGI: Harimau Kumbang tempang di Terengganu, hilang 4 tonggak utama
Sentuhan Irfan Bakti masih didambakan sebahagian penyokong Sang Penyu.
Meskipun sudah menamatkan rentetan aksi tanpa perlawanan buat skuad Sang Penyu, dia masih dipersalahkan terutamanya dari segi keputusan membuat penukaran pemain.
Jadi, kedengaran sesetengah penyokong mendesak agar Badrul digantikan segera demi memastikan pasukan Pantai Timur berkenaan dapat merekodkan keputusan lebih baik selepas ini.
Antara nama yang disebut ialah pengendali legenda Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berikutan tempoh cemerlangnya buat kelab tersebut lebih 10 tahun lalu.
"Lantik Irfan Bakti jadi pengurus semula. Tolonglah selidik semula jurulatih itu, terlalu meragukan. Sudahlah pemain itu tidak sesuai dengan taktikal menekan lawan pada babak kedua, mahu juga dimainkan?
"Ingatkan dapatlah bawa perubahan pendekatan babak pertama, rupanya dia hanya gunakan cara yang memakan diri, memang parah dah nampaknya," kata Zzy Mier.
Meskipun sudah bertahun-tahun meninggalkan Terengganu, Irfan Bakti masih memiliki status tersendiri dalam kalangan penyokong kerana dia merupakan jurulatih terakhir yang membawa kejuaraan buat pasukan.
Namun, dia sudah tentu tidak mahu mengambil peluang itu walaupun ditawarkan kerana masih terdapat lambakan jurulatih muda yang lebih sesuai dengan gaya permainan lebih moden.
Kemenangan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menyaksikan skuad Sang Penyu merapatkan jurang mata dengan Sabah FC yang berada di kedudukan ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram