KEADAAN permukaan jalan di Tasek Utara, Johor Bahru, Johor kini membangkitkan kemarahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar.
Ia selepas melihat kawasan itu dipenuhi dengan sisa-sisa konkrit daripada pemandu lori yang menggunakan jalan tersebut.
Berdasarkan hantaran dimuat naik di Facebook Community Roda Johor-CRJ pada Rabu, situasi itu berlarutan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib kecewa mahkamah arah bela diri, Shafee kecewa tak menang walau dengan 1 mata
Sisa-sisa konkrit yang memenuhi permukaan jalan di kawasan lain sekitar Johor Bahru. — Facebook
Menurutnya, meskipun terdapat papan tanda yang melarang kenderaan berat seperti lori untuk melalui jalan itu, namun masih ada pengguna jalan raya yang berdegil dan melanggar peraturan tersebut.
"Semakin lama semakin teruk. Padahal ada sahaja papan tanda tidak membenarkan lori berkenaan dari melalui jalan tersebut, namun papan tanda tersebut seolah-olah menjadi hiasan.
"Dah banyak kali aduan atau hantaran dibuat, tetapi sehingga hari ini tiada tindakan pembersihan yang diambil oleh mana-mana pihak.
"Sisa tumpahan tersebut boleh membahayakan pengguna jalanraya terutamanya motorsikal," katanya.
Pengguna akaun sama sebelum ini juga pernah memuat naik hantaran berkaitan masalah tersebut yang berlaku di beberapa kawasan lain di sekitar Johor Bahru.
Selain Jalan Tasek Utara, tumpahan sisa konkrit juga dilihat berlaku di Jalan Kempas Baru berhampiran lampu isyarat Taman Indah, Jalan Kempas susur naik dari Jalan Tampoi dan Jalan Datin Halimah.
Mengulas lanjut, seorang lagi pengguna Facebook menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) berwajib iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikan isu berbangkit itu.
"Mohon jasa baik Menteri Besar untuk menoktahkan permasalahan ini. Sampai bila kami pengguna jalan raya di JB nak menghadap masalah ni.
"Cuba datang ronda-ronda, MB boleh tengok berapa banyak konkrit tumpah dibiarkan macam tu sahaja," komen JBS Angler Team. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram