SERAMAI 21 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian banjir di Jalan Hulu Klang, Ampang, Selangor pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bencana negeri menerima panggilan berhubung aduan itu kira-kira pukul 10.28 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu murid-murid yang terperangkap.
BACA LAGI: Rasa kejang perut, letih melampau boleh jadi antara 6 tanda awal hidap kanser usus besar
BACA LAGI: Asyik terbayang nasi lemak? Amal 3 teknik perubahan tingkah laku jika mahu usaha urus berat badan
“Seramai enam anggota diketuai Komander Operasi PBK II KUP Shamsul Shahar turun ke lokasi untuk kerja penyelamatan.
"Sampai di lokasi pihak bomba mendapati empat rumah dan sebuah Tabika Kemas terjejas akibat banjir.
"Bomba mengarahkan penghuni rumah untuk berpindah ke balai penghulu berhampiran, manakala 21 pelajar Tabika Kemas diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis memaklumkan, terdapat empat guru dan 21 murid di dalam tabika tersebut.
"Pemantauan di lokasi mendapati situasi air mulai menurun," ujarnya.
Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak awal pagi Selasa turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.
Balai Bomba dan Penyelamat Ampang menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku sekitar pukul 11.42 pagi.
Komander operasi, Shamsul Shahar, yang tiba di lokasi bersama anggota bomba, mengesahkan bahawa runtuhan tanah melibatkan lereng bukit berkeluasan 20x20 meter dengan ketinggian runtuhan mencecah 30 meter.
"Kejadian tidak melibatkan mangsa dan kediaman. Namun, masih berlaku pergerakan tanah di kawasan kejadian," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram