Enggan terbuai kemenangan bertemu Jeonbuk, Ali Olwan harap Selangor kekal prestasi berdepan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Ali Olwan (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan apabila berjaya menembusi pintu gawang Jeonbuk. — Facebook/Selangorfc

SELANGOR FC melakar kejutan apabila berjaya menewaskan wakil kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Rabu.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu berjaya memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri apabila tampil agresif mengasak kubu Jeonbuk dan berhasil membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-30.

Selang dua minit kemudian, Selangor terus garang apabila menambah gol kemenangan menerusi Ali Olwan yang cemerlang menyudahkan hantaran Noaa Laine.

BACA LAGI: [VIDEO] Semangat The Engineer sanggup bertongkat tak sia-sia, Selangor FC belajar kesilapan kalahkan Jeonbuk hanya dengan 10 pemain

BACA LAGI: 'Sama macam abang', kekalahan skuad B-17 ceritakan masa depan bola sepak

Meskipun berjaya meraih tiga mata berharga namun Jeonbuk berhasil mengurangkan defisit sebelum separuh masa apabila Kwan Chang-hoon menjaringkan gol pada minit ke-40.

Penyerang kelahiran Jordan, Olwan berharap agar pasukannya itu muncul sebagai juara kumpulan H.

Selangor kini menduduki tangga teratas Kumpulan H dengan tujuh mata, manakala Jeonbuk di tempat kedua dengan enam mata. Kelab Thailand, Muangthong United, berada di tempat ketiga dengan dua mata, dan Cebu FC di tempat terakhir dengan satu mata.

Olwan yang berusia 24 tahun itu berharap The Red Giants dapat mengekalkan prestasi mereka dalam kejohanan berkenaan.

“Kami berhasrat untuk terus mengekalkan prestasi ini. Kini kami mengungguli carta kumpulan H dan itu adalah hasil usaha semua pemain.

“Saya juga berterima kasih kepada barisan kejurulatihan dan berharap kami dapat melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.

Selangor dijadualkan akan bertemu Jeonbuk sekali lagi dalam ACL 2 pada 7 November di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan.

Sebelum bertemu wakil Korea Selatan itu, Selangor FC akan bertemu pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim dalam saingan Liga Super pada Ahad. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram