TURUN tanpa kelibat ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tampak lebih menyukarkan Penang FC apabila tewas 0-4 di tangan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Jumaat.
Posisi Akmal Rizal digantikan oleh legenda Penang FC, Abderrazzak Merzagua selaku penolong pengurus dan Mat Saiful Mohamad sebagai pembantu jurulatih mengambil tanggungjawab menjaga Penang FC.
Sentuhan duo gabungan tersebut bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila belum dua minit permainan, Saddil Ramdani mencetak gol pertama buat Sabah dengan ketajaman kaki kiri pemain Indonesia berkenaan berhasil menewaskan penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Sikh Azman.
BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang
BACA LAGI: Gugurkan Rodrigo Dias berdepan Sabah talian hayat terakhir Akmal Rizal bersama Penang
Tiga minit kemudian, situasi bola mata Sang Badak memberi peluang kepada kelab Borneo tanah air itu untuk meraih gol kedua menerusi sepakan percuma dari pertahanan tengah mereka, Gabriel Peres.
Tidak tahan dimalukan oleh Sabah dalam tempoh enam minit, Sikh Izhan nyata mengeskpresikan kemarahannya dengan membuang botol air ketika kem Sang Badak sedang meraikan gol kedua mereka.
Pada minit ke-30, pengadil perlawanan iaitu Mohammad Zamzaidi Katmin melayangkan kad kuning kepada pertahanan Harimau Kumbang, Richmond Ankrah susulan menjatuhkan penyerang Sabah, Joao Pedro.
Rembatan tepat dari luar kotak sentiasa menjadi identiti Stuart Wilkin ketika menjaringkan gol dan kelebihan itu memberi kelebihan sekali lagi untuk Sabah apabila pemain kebangsaan berkenaan mencetak gol ketiga buat Sang Badak.
Bolos tiga gol awal pada babak pertama itu jelas tidak menggembirakan penyokong skuad Pulau Mutiara itu dengan menganggap barisan pemain pula yang tidak menunjukkan usaha dalam memberikan kemenangan buat Penang.
"Berhenti jadi pemain lah, Akmal Rizal direhatkan pun jadi begini," kata penyokong Harimau Kumbang, Hazrul Hazwan.
"Pemain yang problem rupanya, tiada Vitor (Rafael Vitor) lagi pening pertahanan," tambah penyokong Penang FC, Der Miziey.
Sabah FC terus berpesta gol seawal babak kedua bermula apabila ketua pasukan Sabah, Dominic Tan meledak gol keempat buat Sang Badak menerusi percubaan kencang kaki kirinya untuk menundukkan Sikh Izhan.
Pada minit ke-58 dan selepas dibolosi empat gol, Penang FC membuat keputusan untuk merehatkan Sikh Izhan dan memasukkan Shafiq Afifi bagi menjaga benteng terakhir pasukan Harimau Kumbang itu.
Keputusan 0-4 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya.
Kekalahan di laman sendiri itu turut menyaksikan, skuad Harimau Kumbang berada pada kedudukan ke-11 dengan memungut 11 mata ketika ini, manakala Sang Badak pula menghuni tangga ketiga dengan 20 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram