Otot lutut koyak buat enjin Gergasi Merah terpaksa rehat lama, bikin Nidzam Jamil terus pening kepala


  • Podium
  • Isnin, 21 Okt 2024

Rawabdeh kemungkinan perlu mengambil rehat kira-kira enam sehingga sembilan bulan. — Facebook/SelangorFC

MENJELANG dua hari lagi sebelum perlawanan penting Selangor FC menentang Jeonbuk dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), kem Gergasi Merah ditimpa isu kecederaan membabitkan pemain utama mereka.

Menerusi hantaran di laman Insta Story pada Isnin, pemain tengah dari Jordan Selangor iaitu Noor Rawabdeh berkongsi perkembangan terbaharu mengenainya selepas mengalami kecederaan dalam aksi Liga Super bertemu PDRM FC pada Sabtu.

Pada perlawanan di Stadium Selayang, Selangor yang menyaksikan Gergasi Merah merekodkan seri 1-1 menentang The Cops dikhabarkan akan menjadi perlawanan terakhir Rawabdeh pada musim ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Sharnaaz Ahmad maki minah salih kurang ajar sehari selepas jadi pemilik kelab bola sepak

BACA LAGI: Pemilik kelab bola Pantai Timur digari, bakal ke penjara gara-gara gagal bayar gaji

"Hasil pemeriksaan mendapati saya didiagnosis dengan kecederaan ligamen (otot lutut koyak). Kami hanya mengatakan apa yang diredhai ALLAH, maka segala puji bagi ALLAH untuk segala-galanya," katanya.

Berdasarkan semakan Majoriti, kecederaan yang dialami pemain dengan jolokan 'The Enginner' tersebut difahamkan memaksa Rawabdeh untuk mengambil rehat kira-kira enam sehingga sembilan bulan.

Perkembangan terkini tersebut dilihat sedikit merencatkan persiapan Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024 serta kempen ACL2 yang dijangka Selangor akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 20.41.39

Rawabdeh mengalami kecederaan itu ketika aksi Selangor menentang PDRM pada Sabtu.

Walaupun tiada sebarang pengesahan rasmi dari pengurusan Selangor namun penyokong Merah Kuning rata-ratanya melahirkan kebimbangan mereka dengan dia merupakan watak utama yang membantu Selangor dari musim lepas.

Untuk rekod, pasukan Lembah Klang berkenaan menandatangani Rawabdeh pada musim 2023 berikutan pengalamannya di Asia ketika membantu kelab Bahrain, Al-Muharraq memenangi Piala AFC pada 2021.

Rawabdeh yang memainkan peranan sebagai pemain nombor enam (defensive playmaker) atau lapan (deep-lying playmaker) itu sudah meledak satu gol dan dua hantaran bantuan buat Selangor dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram