STADIUM Majlis Perbandaran Manjung tidak memberi kelebihan buat Perak apabila skuad Seladang tewas 2-4 di tangan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super dekat Manjung, Perak pada Sabtu.
Tempo permainan yang cantik diberikan kedua-dua pasukan lagi-lagi jika melihat percubaan tepat dilakukan oleh skuad kendalian Yusri Che Lah yang hampir mendapat gol pembukaan pada 15 minit pertama.
Nasib Sabah mula tampak gelap apabila tangkapan kurang kemas daripada Damien Lim pada minit ke-25 nyaris memberi gol percuma buat Perak FC, tetapi mujur pemain tuan rumah gagal memanfaatkan peluang.
BACA LAGI: [VIDEO] Darren Lok hamstring, 3 kelab utara perlu bijak ambil kesempatan nasib malang kem Sabah
BACA LAGI: Jemput skuad Sang Badak di Bayan Lepas, Baddrol Bakhtiar ubat kerinduan penyokong The Rhinos
Namun insiden Damien terpijak kaki penyerang Perak, Luka Milunovic mengundang derita buatSabah FC apabila pengadil memberi skuad TBG sepakan penalti dan peluang tersebut disudahkan tenang dari ketua pasukan mereka, Luciano Guaycochea pada minit ke-30.
Tersentak dengan gol itu, Sabah mula merencanakan gerakan bagi memburu gol penyamaan dan hasilnya rembatan kencang daripada luar kotak penalti dari pemain pertahanan The Rhinos, Ko Kwang-min pada minit ke-39 berjaya menumpaskan Haziq Nadzli.
Lima minit kemudian, Sabah terus mencipta sensasi dari kedudukan sama seperti Kwang-min apabila giliran Stuart Wilkin pula mencetak gol kedua buat Sabah apabila jaringan jarak jauhnya meletakkan Sang Badak di hadapan.
Menjengah komen penyokong hasil keputusan separuh pertama, 'pemain ke-12' Perak rata-ratanya kembali mempersoal corak permainan Yusri sehingga menyaksikan gawang TBG mudah dibolosi.
"Cantik gol Sabah. Main bola bawah lah Perak. Kali terakhir orang main bola atas ini masa England Piala Dunia 1966. Ground ball senang nak trap pass. Bola lambung tidah usah," kata penyokong Perak, Juan Don.
"Mula dah main tidak cantik Perak bila Sabah dapat gol pertama tadi, awal-awal tadi dah okay," tambah penyokong The Bos Gaurus, Norazly.
"Dua gol dari luar kotak penalti. Secara teknikal, pemain Sabah lebih baik. Wilkin jangan cakap lah, memang makana dia gol begitu. Pemain Perak dah main macam zaman 60-an," tambah penyokong TBG, Musyammaz Xciz.
Permulaan yang cukup baik dari Perak pada separuh masa kedua apabila sepakan penjuru dari Guaycochea disambut baik oleh Clayton yang menanduk masuk ke arah bucu gawang skuad Sang Badak.
Antara momen sebelum sepak mula Sabah menentang Perak pada Sabtu. — Facebook/PerakFC
Pada minit ke-63, Wan Zack Haikal mengalami pendarahan sehingga diusung keluar rentetan terjahan dari Saddil Ramdani namun lima minit selepas itu, pemain sayap berkenaan kembali ke padang dengan balutan anduh pada kepalanya.
Pada minit ke-82, rembatan kencang Joao Pedro membuatkan Haziq terkesima tanpa membuat apa-apa dan membantu Sabah terus mencetak gol ketiga Sabah dalam aksi di Manjung berkenaan.
Kealpaan pemain pertahanan Perak terus dihukum apabila giliran Miguel Cifuentas pula mencatatkan nama sebagai penjaring Sabah dan kedudukan 4-2 berakhir sehingga ke wisel terakhir dibunyikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram