PASANGAN beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik merekodkan kemenangan ke atas Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun untuk menempah tempat ke pusingan kedua Terbuka Denmark.
Pasangan nombor empat dunia itu diasak kuat pada perlawanan pertama menentang Mitsuhashi-Hiroki Okamura dan terpaksa menggunakan semua kudrat mereka untuk menang 28-26, kemudian selesa memenangi 21-11 dalam 48 minit di Arena Jyske Bank di Odense pada Selasa.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris berkenaan berkemungkinan bakal menentang rakan sepasukan iaitu pasangan nombor 15 dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun seterusnya dalam pusingan kedua.
BACA LAGI: Saling percaya jadi 'ramuan' Sze Fei-Izzuddin berjaya harungi cabaran sukar Terbuka Artik
BACA LAGI: Cedera buku lali, Zii Jia tarik diri Terbuka Denmark
Wei Chong-Kai Wun sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengatasi pasangan beregu England iaitu Callum Hemming-Ethan Van Leeuwen dalam perlawanan pembukaan mereka lewat malam nanti.
Kemenangan ini juga mengekalkan rekod bersih juara Terbuka Denmark 2023 itu ke atas Mitsuhashi-Okamura, setelah turut menewaskan pasangan yang sama pada Terbuka India 2024 dan Kejohanan Badminton Asia 2024.
Langkah kanan Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Denmark ini membuktikan skuad beregu negara mempunyai masa depan untuk menjadi kuasa besar badminton, ia selepas mengambil kira kejayaan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada Terbuka Artik.
Sze Fei-Izzuddin muncul juara Terbuka Artik baru-baru ini selepas menundukkan pasangan di ranking kedua dunia dari Denmark iaitu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 15-21, 21-15, 21-19.
Bukan itu sahaja, gandingan beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai melakar sensasi apabila muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 yang berlangsung di Nanchang, China pada baru-baru ini.
Sze Fei- Izzuddin Rumsani memenangi kejohanan Terbuka Artik baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyokong badminton tanah air mula menyuarakan kebimbangan mereka untuk pemain perseorangan negara yang setakat ini tidak menunjukkan peningkatan memuaskan pada kejohanan berlangsung.
Misalnya, Leong Jun Hao terkandas di pusingan ke-32 Terbuka China pada September lalu selepas tewas kepada pemain Perancis Toma Junior Popov dengan keputusan 23-25, 26-24, 21-19.
"Nampak pemain beregu negara menjanjikan masa depan yang cerah. Ada sedia ada Olympian iaitu Aaron-Wooi Yik, nak jadi naga baharu, Sze Fei-Izzuddin. Pucuk muda baharu menang kejohanan junior iaitu Khai Xing-Aaron. Cuma suram untuk perseorangan," kata penyokong Rijal Mohamad.
Sementara itu, dalam beregu campuran, pemain nombor 10 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas awal selepas tumbang 21-9, 22-24, 10-21 kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram