SELEPAS meraih kemenangan besar 9-0 ke atas Hong Kong pada Jumaat, pasukan Malaysia 7 Sebelah (7s) meneruskan rentak kemenangan menewaskan Singapura 5-1 dalam perlawanan suku akhir Kejohanan Bola Sepak 7's Asia.
Kejohanan yang berlangsung di EV Arena, Elmina dekat Shah Alam, Selangor itu menyaksikan skuad tanah air kembali ke gelanggang dengan mentaliti juara apabila berjaya mendahului 4-1 selepas tamat 40 minit waktu permainan.
Beraksi dalam comeback period, pasukan bimbingan Sulaiman Hussin memiliki deretan peluang terhidang dan akhirnya ia berhasil diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol untuk menoktahkan kemenangan.
BACA LAGI: Tewas tipis di tangan Filipina, nama tonggak Kedah wajar dipanggil ke skuad 7s Malaysia
BACA LAGI: Dikaitkan dengan pemain import bersara, Kelantan Darul Naim FC mahu rombak serangan pasukan?
Kemenangan Malaysia ke atas skuad Singapura diraih menerusi jaringan pemain yang beraksi bersama PT Athletic FC iaitu Fandi Othman dengan bek kiri itu meledak dua gol awal untuk pasukannya pada minit kesembilan dan ke-27.
Tidak sampai lima minit Malaysia bergembira dengan gol kedua Fandi, bekas tonggak Terengganu iaitu Manaf Mamat menambah gol ketiga untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Pemain tengah, Azriddin Rosli dan Ameer Saidin yang beraksi sebagai bek tengah turut tidak ketinggalan mencatatkan nama sebagai penjaring bagi memastikan kemenangan mutlak untuk Malaysia.
Kejayaan mencatatkan kemenangan dengan jumlah gol yang besar ini membuatkan ramai penyokong kembali merindui beberapa pemain yang pernah memeriahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada suatu ketika dahulu.
Antara yang dirindui ialah Manaf, salah seorang penyerang pernah bersinar ketika bersama Terengganu dan skuad kebangsaan. Dia juga pernah beraksi bersama Kelantan dan Kuala Lumpur.
“Kemas Manaf Mamat main, jadi rindu pula dengan kelibat dia,” kata penyokong domestik, Amierull Sya.
“Manaf masih seronok tengok dia main. Harap lepas ini makin aktif,” tambah penyokong bola sepak tanah air, Mohd Hilmi yang merindui sentuhan anak jati Terengganu berkenaan.
Manaf boleh dilabel sebagai salah seorang penyerang yang disegani penyokong Terengganu apabila pemain berusia 37 tahun berkenaan meledak 80 gol sepanjang bersama Sang Penyu dari 2007 hingga 2016.
Dalam pada itu, dengan sentuhannya yang masih berbisa, pasti khidmatnya akan digunakan untuk menentang Jepun dalam separuh akhir, dalam misi menumbangkan juara bertahan dan merebut tiket ke final Kejohanan Asia 7s. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram