'Jangan simpan dalam poket sendiri', 10 negeri dipesan guna betul-betul dana KBS naik taraf stadium


  • Podium
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Suntikan dana diharap dapat mengelakkan isu masalah dan kualiti padang daripada terus berulang.

DALAM usaha menaikkan lagi mutu bola sepak negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil menyediakan dana RM4.6 juta dengan suntikan kewangan itu akan digunakan bagi pelaksanaan projek menaik taraf fasiliti berkenanan.

Perkara itu diumumkan menterinya, Hannah Yeoh yang mengatakan sebanyak lapan negeri akan menerima geran penuh RM500,000 termasuk Terengganu, Pahang dan Selangor.

Bagi dua negeri pula iaitu Perlis dan Kedah, mereka bersedia menerima suntikan dana sehingga RM300,000 yang memilih menaik taraf sistem saliran, namun enggan menukar jenis rumput digunakan.

BACA LAGI: 'KBS ada beri RM48,000', MTA harap ragbi sentuh jadi sukan teras di Malaysia

BACA LAGI: Beraksi di Piala Dunia, Saho desak KBS, MSN bantu promosi ragbi sentuh seperti futsal

2757925

Suntikan dana daripada KBS akan menaikkan lagi mutu bola sepak dalam negara.

“Bagi Johor pula, mereka tidak menerima geran itu kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu menerima peruntukan kerana (berasakan) tiada keperluan menaik taraf saliran atau tukar rumput.

“Sarawak pula minta ditunda kerana mereka tak boleh jalankan kerja sebelum temasya SUKMA (Sukan Malaysia) berakhir. Memandangkan peruntukan sudah disalurkan antara Mac hingga Julai 2024, kita berharap negeri terbabit menggunakan geran berdasarkan skop yang sudah ditetapkan," katanya.

Pengumuman itu sudah tentu membuka lembaran baharu terhadap perkembangan sukan tersebut dalam negara dengan isu tersebut sudah berkali-kali diberi perhatian oleh penyokong.

Selain itu, beberapa figura ternama, terutamanya pemilik Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menekankan kualiti padang penting jika sukan bola sepak mahu terus berkembang.

2951503

Keadaan padang di Stadium Perak masih belum cukup optimum.

Bagaimanapun, penyokong turut berharap dana disalurkan KBS itu dapat digunakan sebaik mungkin dan tidak diseleweng pihak tidak bertanggungjawab yang berada dalam pengurusan setiap negeri.

"Kontraktor dipilih harapnya dapat buat kerja dengan cepat dan segera. Sekiranya tidak dilakukan sebegitu, ia akan diberikan kepada orang yang terdekat. Faham-fahamlah," kata Thiru Ramu.

"Kalau sudah terima dana itu, janganlah disimpan ke dalam poket sendiri. Bolehlah rasanya dikatakan kepada kontraktor yang akan menerima tender tu," kata Robert Chua.

Isu penyelewangan dana bukanlah sesuatu yang baharu kerana dalam pelbagai bidang lain, masalah sama turut berlaku sehingga menyebabkan kesukaran sesebuah projek berjalan lancar.

Hal itu hanya boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan menyedari tanggungjawab masing-masing untuk menaikkan mutu sukan bola sepak dalam negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram