AKSI Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Indonesia dan Bahrain dicemari dengan keputusan kontroversi daripada pengadil.
Indonesia yang turun ke gelanggang lawan pastinya mahu memburu tiga mata penuh dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam aksi tersebut, tuan rumah mendahului menerusi sepakan percuma Jasim Marhoon pada minit ke-15 sebelum penyerang Sang Garuda, Ragnar Oratmangoen menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.
BACA LAGI: No 18 jadi klu, bekas tekong negara hampir sertai Johor Tigris
Bersambung babak kedua, Indonesia mencipta kejutan apabila Rafael Struick meledak gol kedua Sang Garuda pada minit ke-74 sekali gus meletakkan Indonesia di kedudukan yang selesa.
Kedudukan 2-1 mahu dipertahankan oleh wakil tunggal Asia Tenggara tersebut bagi merealisasikan misi membawa pulang tiga mata dengan permainan berbaki enam minit di masa tambahan babak kedua.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ahmed Abu Bakar Said Al-Kaf dilihat enggan meniupkan wisel penamat meskipun permainan sudah melebihi tambahan masa enam minit yang diberikan.
Tindakan pengadil itu memberi peluang buat Bahrain untuk membuat serangan balas dan berhasil apabila Jasim sekali lagi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-99.
Susulan keputusan kontroversi daripada pengadil itu menyebabkan kem Indonesia tidak berpuas hati dan beranggapan kemenangan mereka 'dicuri' oleh pengadil yang sengaja memberi masa tambahan buat Bahrain.
"Momen menyedihkan ketika kemenangan pasukan kebangsaan Indonesia dirampok oleh pengadil. Buat para pemain Indonesia, terima kasih perjuangan dan tetap semangat," katanya di Facebook.
Malah, pengurus Indonesia, Sumardji turut dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan bantahan terhadap jaringan penyamaan Bahrain.
Susulan itu, menurut laporan Kompas.com, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memprotes keputusan pengadil berkenaan.
Indonesia terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan kekal di tangga kelima Kumpulan C yang menyaksikan Jepun mengungguli carta dengan sembilan mata, manakala Bahrain berada di tempat keempat.
Selepas ini, Indonesia bakal berangkat ke Qingdao untuk aksi berdepan China pada 15 Oktober, manakala Bahrain pula akan menentang Arab Saudi di Jeddah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram