BEKAS pemain import Selangor FC, Reziq Bani Hani menunjukkan impak segera buat pasukan baharunya iaitu Al-Hussein SC apabila menjadi watak utama dalam perlawanan menentang Ma'an baru-baru ini.
Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu mencetak satu gol dan dua hantaran bantuan buat pasukan tersebut dalam kemenangan 5-0 ke atas Ma'an bagi kejohanan Kumpulan A saingan Shield Cup Liga Jordan.
Hasil sumbangan dari pemain berusia 22 tahun berkenaan, Al-Hussein kini mendahului Kumpulan A dengan memungut sembilan mata selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut mereka.
BACA LAGI: Reziq sah tinggalkan Selangor, sertai bekas tonggak Kedah di Jordan
BACA LAGI: Kejar lebih minit permainan jadi punca Reziq Bani Hani tergesa-gesa tinggalkan Selangor
Berhasil memberi sumbangan cemerlang dalam tempoh sebulan bersama Al-Hussein membuatka para penyokong Gergasi Merah cemburu dengan pasukan Jordan tersebut sehingga ada yang berharap khidmatnya kembali dipanggil Selangor FC.
Tidak kurang juga ada penyokong yang berpendapat bahawa corak permainan Nidzam Jamil mungkin menjadi punca Reziq Bani kurang memberi impak kepada bahagian serangan Selangor pada pusingan pertama Liga Malaysia (Liga M) 2023.
"Main bersama Selangor asyik tidak jadi sahaja, main kelab baharu terus cetak gol. Tidak sesuai dengan taktikal Nidzam Jamil mungkin," kata penyokong Gergasi Merah, Mohd Ismail Ramli.
"Dekat Selangor dia banyak diperam," tambah penyokong Selangor FC, Yunus Sarimun yang menganggap kurang diberikan minit permainan punca pemain antarabangsa Jordan itu kurang menyerlah bersama Selangor.
Reziq Bani mencetak satu gol dan dua hantaran bantuan buat Al-Hussein.
Sebelum ini dilaporkan, ejen kepada Reziq iaitu Ali Aldaeffy memaklumkan bahawa pemergian pemain itu adalah kerana ingin mendapatkan lebih banyak minit permainan dan Al-Hussein boleh menawarkan apa dikehendaki pemain itu.
Bekas pemain Al-Faisaly SC itu kerap diturunkan selaku pemain gantian oleh Nidzam sehingga Reziq kurang dilihat memberikan sumbangan dalam 10 penampilannya dalam aksi Liga Super dan Piala FA.
Berdasarkan statistik, Reziq Bani hanya meledak dua gol serta satu hantaran bantuan dan ia ketika aksi separuh akhir Piala FA untuk membolehkan Selangor mara ke final bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram