[VIDEO] Arif Aiman mahu kekal lebih lama di JDT, percaya boleh jadi pemain lebih baik selain balas jasa TMJ


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Barisan pemain JDT ketika meraikan kemenangan 3-0 ke atas Shanghai Shenhua dalam perlawanan kedua Kumpulan A dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

PEMAIN sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menegaskan mahu kekal beraksi bersama Harimau Selatan dan bertekad memberikan yang terbaik untuk kelab tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio kerana sentiasa memberi motivasi khususnya selepas berdepan kecederaan sebelum ini.

"Sejujurnya, saya ingin terus kekal bermain di kelab ini sampai bila-bila tetapi saya tidak boleh selesa dan mesti memastikan saya terus berjaya.

“Sebelum ini saya cedera dan ia menjejaskan prestasi saya tapi Tunku Ismail sentiasa menggalakkan saya untuk melakukan yang terbaik dan sebab itu saya berazam untuk kekal di kelab ini.

“Saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri untuk memberikan yang terbaik untuk JDT dan mendengar kata-kata jurulatih serta rakan sepasukan kerana mereka banyak membantu memberikan lebih keyakinan kepada saya apabila beraksi di atas padang.

“Saya perlu menikmati detik ini kerana pada usia muda saya perlu bekerja keras dan ini adalah impian saya kerana saya tahu bukan mudah bermain di peringkat teratas Asia," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Killer' terpaksa pulang sekejap ke Thailand, Penang Black Panthers tak gentar harungi kumpulan maut STL GP Perak

BACA LAGI: Malukan kelab China, Arif Aiman pintas CR7, bantu JDT kaut bersih RM400,000

Dalam perlawanan bertemu Shanghai Shenhua pada Selasa, Arif Aiman menjaringkan gol pertama selain turut memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan 3-0 skuad Harimau Selatan.

Sebelum ini, JDT memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan cemerlang apabila berjaya meraih keputusan seri 2-2 bertemu wakil China, Shanghai Port 18 September lalu.

Dalam aksi tersebut, Arif Aiman mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila mencetak kedua-dua gol buat JDT ketika itu.

“Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada penyokong dan menghargai sokongan mereka yang hadir dan saya gembira kami berjaya memberikan kejayaan kepada mereka," ujarnya.

Harimau Selatan seterusnya bakal menentang wakil kelab Korea, Gwangju di gelanggang lawan pada 22 Oktober depan. — The Star/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram