'Rumah saya belum siap', kunjungan Khabib ke Malaysia tinggalkan pesanan menusuk kalbu peminat


  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Khabib kelihatan cukup teruja dalam lawatan singkatnya ke Kuala Lumpur dengan ratusan peminat memenuhi WTC.

KUNJUNGAN dibuat bekas juara seni mempertahankan diri dunia, Khabib Nurmagomedov ke ibu kota mencetuskan sambutan cukup hangat apabila orang ramai enggan melepaskan peluang bertemunya secara bersemuka.

Selain memiliki reputasi cukup baik setiap kali melangkah ke dalam gelanggang, peninju berusia 36 tahun itu dikenali dengan personalitinya sebagai seorang yang merendah diri, namun tegas dalam mempertahankan agama Islam.

Ciri-ciri itu membuatkan namanya amat sinonim dalam kalangan peminat sukan tempur dengan ada yang meletakkanya sebagai idola selain menjadikannya faktor untuk menceburi sukan berkenaan.

BACA LAGI: 'New era of Muay Thai', selain Jojo, Rifdean antara 3 mula tempa nama sukan tinju

BACA LAGI: Dibuli siber, Imane Khelif saman JK Rowling, Elon Musk dan Trump

Pujian terhadap peninju kelahiran Rusia itu terus rancak kerana dalam lawatan yang dibuat pada Ahad, Khabib memberikan beberapa nasihat kepada ribuan peminatnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Hal itu disampaikan pengguna Facebook, Muaz Yazid yang sempat mencatatkan beberapa peringatan daripada peninju dengan rekod membanggakan sepanjang bertahun-tahun beraksi dalam kejohanan UFC.

Antara nasihat cukup bermakna adalah bagaimana Khabib menegaskan cara untuk melahirkan mentaliti juara di samping menjadi seorang yang berdisiplin dalam apa jua bidang diceburi.

“Ada orang dilahirkan dengan 'mindset' yang bagus dan disiplin yang bagus, memang ada orang yang dilahirkan dengan mental yang sangat kuat. Ada orang perlu belajar setiap hari untuk fokus dan disiplin. Mereka melalui proses, ia ambil masa lebih panjang.

"Saya pernah terbaca kata-kata dari Rumi; 'Jika anda nak membina keberanian, anda perlu disiplin dan berusaha setiap hari'. Pendapat saya, orang menjadi juara, 80 peratus kerana dia mempunyai orang di sekeliling dan ekosistem yang boleh membantu dia," kata Khabib.

WhatsApp Image 2024-09-30 at 1.39.17 PM

Khabib mencatatkan pelbagai rekod sepanjang beberapa tahun dalam seni mempertahankan diri. — Agensi

Khabib yang mengumumkan persaraan tiga tahun lalu menceburkan diri dalam seni mempertahankan diri sejak kecil bagi menuruti langkah bapanya yang juga seorang peninju.

Pendedahan awal itu membolehkannya menjadi seorang atlet tempur yang amat digeruni dengan dia memegang takhta kejuaraan 'UFC Lightweight Champion' selama kira-kira tiga tahun.

Khabib juga sempat mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan berpegang kepada ajaran agama kerana ia adalah lebih penting berbanding dunia yang hanya kekal sementara.

“Rumah saya belum siap, bumbungnya belum siap lagi, nanti bila saya dah mati, seseorang akan siapkan bumbung rumah saya. Dengar cakap orang tua, dengan orang tua, tidak ada demokrasi.

"Allah befirman dalam Al-Quran; Beribadah kepada-Ku, dan selepas beribadah, taat kepada orang tuamu," katanya.

Meskipun lahir di Rusia, Khabib merupakan seorang Muslim kerana dia dilahirkan di Republik Dagestan yang majoriti daripada penduduknya merupakan penganut agama Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram