WALAUPUN sudah pun bersara daripada UFC, Khabib Nurmagomedov masih berpeluang untuk berdepan sesi ‘bersemuka’ seperti yang sering dilakukannya pada sidang media sebelum pertarungan UFC sebelum ini.
Bagaimanapun, peluang sesi bersemuka kali ini cukup unik kerana ia dapat dilakukan dengan bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, Paul Pogba dan bekas tonggak kelab itu, Rio Ferdinand baru-baru ini.
Khabib menjadi tetamu istimewa kelab itu ketika aksi menentang Everton minggu lepas dan kesempatan itu membolehkan petarung dari Rusia itu berhubung dengan beberapa pemain dan juga legenda kelab Man. United.
“Dia masih yang terbaik, teruskan buat apa yang kamu mahukan Champ, kamu sudah pun memberikan inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia @cristiano,” kata Khabib dalam ciapannya di media sosial.
Khabib mendedahkan yang dia menikmati peluang yang dimilikinya dan mengakui cukup teruja mendengar bagaimana persiapan pemain untuk menghadapi perlawanan.
Kunjungan Khabib juga membolehkannya bertemu dengan pengurus legenda The Red Devils, Sir Alex Ferguson dan turut berpeluang berbicara dengan Usain Bolt dan bekas pemain Patrice Evra.
Petarung berusia 33 tahun itu turut mendedahkan yang dia menolak pelawaan Ferguson untuk meminum segelas wine.
Sambil berjenaka, Khabib cukup dikenali sebagai muslim yang taat mengatakan jika dia menerima pelawaan itu akan membuatkannya ‘membelasah’ Ferguson, Bolt dan Evra.
“Saya terangkan kepadanya (Ferguson) yang saya seorang Muslim dan tidak minum arak.
“Saya juga beritahu kepadanya, ia tidak bagus kerana jika saya minum, saya boleh hancurkan semua orang. Itu bukanlah satu idea yang bagus.” – Daily Mail