PENYERANG import, Jordan Mintah semakin menunjukkan belangnya sebagai penjaring pasukan apabila berhasil meledak empat gol dalam tempoh kurang daripada seminggu.
Dua jaringan memukaunya ketika aksi menentang Kuching City FC dalam saingan kelapan Liga Super yang mana dia juga menjadi penjaring tunggal, sekali gus menyelamatkan TFC untuk mendapatkan tiga mata berharga.
Terbaharu, pemain berusia 27 tahun itu tidak melepaskan peluang untuk menambah akaunnya golnya selepas meledak dua jaringan pada penghujung babak kedua perlawanan menentang Melaka FC bagi pusingan 16 Piala FA.
Keputusan menundukkan 4-0 pasukan Liga M3 itu membolehkan skuad Sang Penyu untuk melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA dań menentang musuh tradisi mereka, Kelantan FC.
Bercakap mengenai Mintah, penyokong Terengganu bukan sahaja menyukai pemain Ghana itu kerana kemahirannya, malah keperibadian bekas pemain TFC II itu juga sering mendapat pujian daripada peminat.
Seperti yang dikatakan oleh laman penyokong skuad Penyu, Analisis Bola Tranung menyamakan personaliti Mintah dengan dua ikon bola sepak dunia iaitu Sadio Mane dan Mohamed Salah yang sering membawa mesej berguna kepada penyokong.
Salah sering membawa al-Quran ke mana sahaja. — Agensi
Keperibadian Salah yang sentiasa dekat dengan al-Quran walau di mana dia berada boleh menjadi ikutan, manakala sifat pemurah Mane kepada penduduk kampungnya pula sering menjadi inspirasi kepada peminat bola sepak.
“Jika anda adalah orang yang dikenali atau berpengaruh besar, lakukanlah perkara baik untuk dijadikan contoh kepada pengikut anda. Itu pengajarannya. Mereka berada tinggi di puncak dunia, tetapi tetap merendah ke tanah kerana mereka sedar ini semua adalah amanah dan pinjaman semata mata.
“Berbalik kepada Mintah, kenapa dia disayangi penyokong Terengganu ? Jawapannya adalah kisahnya di dalam padang dan luar padang.
“Dia datang ke Terengganu bukan semata-mata untuk bermain bola. Mintah datang membawa jiwanya dan terus menyelamkan jiwanya ke dalam adat, bahasa, dan agama majoriti rakyat Terengganu,” tulis penyokong berkenaan.
Mana tidaknya, bekas pemain pinjaman Kuala Lumpur (KL) City itu cukup terkenal dengan aktivitinya yang membuat kunjungan ke masjid, pusat pengajian tahfiz dan pusat jagaan anak-anak yatim.
Mintah berkongsi pandangannya tentang Islam bersama guru dan pelajar tahfiz. — Facebook.
Malah, baru-baru ini bekas pemain kelab Flipina, Kaya FC-Iloilo itu juga mencuri perhatian apabila dia mengesahkan bahawa gayanya meraihkan gol ketika menentang skuad The Cats diinspirasikan seperti seorang muazzin.
“Apa yg kita boleh belajar dari goal celebration itu ? Sebagai umat Islam, jika bukan muslim pun sedar akan kebaikan menyahut seruan azan itu dengan mendirikan solat atau hadir ke masjid dan surau, malulah kita sebagai muslim jika tidak mengendahkan panggilan azan tersebut.
“Kita juga sebagai Muslim perlulah menunjukkan keperibadian Muslim yang sebenarnya kepada bukan Muslim. Jaguh UFC iaitu Khabib Nurmagomedov ada berkata ‘orang bukan islam tidak membaca quran, tidak membaca hadis, tetapi mereka membaca kamu’. Jadi, tunjukkanlah keperibadian Muslim yang sejati untuk sama-sama kita berdakwah di atas dunia yang fana ini,” tambah penyokong berkenaan.
Rentetan daripada itu, ramai penyokong berharap agar suatu hari nanti Mintah akan terbuka hati untuk memeluk agama Islam dan semakin dekat dengan komuniti Muslim di Malaysia.
Pada musim lepas, Mintah pernah mengatakan bahawa dia bakal menjadi saudara baharu tidak lama lagi dan mengakui menyukai agama Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram